Kerjasama Malaysia-Negara ASEAN kekalkan aliran bakat berkemahiran tinggi - Sim

Bernama
Oktober 4, 2024 06:00 MYT
Sim berkata sejak pertengahan abad ke-20, Malaysia telah menerima pelaburan daripada industri berteknologi tinggi terkemuka dari seluruh dunia. - Foto Facebook/Steven Sim
KUALA LUMPUR: Kerjasama antara Malaysia dengan negara-negara ASEAN penting untuk menarik, membangunkan dan mengekalkan aliran bakat berkemahiran tinggi, dinamik dan pelbagai, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Berucap pada Forum Kemahiran ASEAN (ASF) pada Khamis, beliau berkata sejak pertengahan abad ke-20, Malaysia telah menerima pelaburan daripada industri berteknologi tinggi terkemuka dari seluruh dunia, bermula dengan 'Lapan Samurai di Pulau Pinang' seperti Intel Corporation, Hewlett-Packard yang kini dikenali sebagai Keysight Technologies dan Agilent Technologies dan Hitachi (Renesas).
"Hari ini, Malaysia menjadi tuan rumah kepada pemain-pemain teknologi global seperti Nvidia, Micron, Infineon, Geely, Rongsheng, Microsoft, Google, Bytedance, AWS dan banyak lagi dengan pelaburan melebihi RM30 bilion," katanya yang dipetik dalam kenyataan oleh Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) pada Jumaat.
Forum yang julung kali diadakan itu dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi HRD Corp dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), dihadiri kira-kira 200 delegasi dari 16 negara termasuk Filipina, Thailand, Kemboja, Brunei dan Austria.
ASF menghimpunkan pihak berkepentingan dari seluruh ASEAN termasuk wakil kerajaan, majikan, kesatuan pekerja dan rakan kongsi antarabangsa bagi membincangkan cabaran kritikal dan peluang dalam pembangunan modal insan di rantau ini.
Forum berkenaan turut memberikan tumpuan kepada perbincangan mengenai penyelarasanstrategi pembangunan kemahiran di seluruh rantau.
Menurut kenyataan itu, perbincangan tersebut sangat penting ketika Malaysia bersiap sedia untuk mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun 2025 dan cadangan Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025.
AYOS 2025 yang akan diterajui oleh KESUMA melalui HRD Corp, bertujuan untuk memacu pelbagaiprogram dan aktiviti pembangunan kemahiran di seluruh rantau ini sepanjang tahun itu.
Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp Datuk Shahul Dawood berkata AYOS 2025 bertujuan menangani cabaran yang bakal dihadapi dengan menyokong pertumbuhan dan daya saing yang mampan, merapatkan jurang kemahiran dan memastikan tenaga kerja ASEAN memenuhi keperluan industri yang dijangka dapat dicapai menerusi program latihan terfokus dan peningkatan kemahiran berterusan.
"AYOS 2025 akan memudahkan pertukaran bakat serantau, membolehkan profesional berkemahiran untuk bergerak merentasi negara-negara ASEAN, membantu berkongsi pengetahuan dan menangani kekurangan kemahiran tempatan sambil meningkatkan kerjasama dan inovasi," katanya.
Pada forum itu, Sim turut mengumumkan penambahbaikan kepada Matrik Kos Yang Dibenarkan (ACM), bertujuan menetapkan asas bagi usaha pembangunan kemahiran Malaysia sendiri.
Kenyataan itu turut memaklumkan HRD Corp akan menaikkan had yuran kursus sehingga RM1,500 sejam atau RM10,500 sehari, berbanding RM6,000 sehari sebelum ini bagi membolehkan majikan menyediakan program latihan yang lebih berkualiti dan bernilai tinggi untuk pekerja mereka, selaras permintaan industri.
-- BERNAMA
#HRD Corp #NVIDIA #Microsoft #Google
;