Kerjasama Malaysia, Indonesia dan Filipina dijangka elak konflik tuntutan - Penganalisis
Fareez Azman
Mac 28, 2022 23:43 MYT
Mac 28, 2022 23:43 MYT
KUALA LUMPUR: Jalinan Kerjasama Trilateral (TCA) antara Malaysia, Indonesia dan Filipina yang dikembangkan merentasi pertahanan, dijangka dapat mengelakkan sebarang konflik berlaku di antara tiga negara.
Menurut Penganalisis Politik, Profesor Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed, ia sekali gus membuktikan bahawa negara serantau amat serius dalam memastikan keselamatan dan keamanan terus terpelihara.
"Saya melihat kerjasama tiga negara dimeterai hari ini menunjukkan kerajaan Malaysia begitu komited memastikan perairan negara berada dalam keadaan selamat dan keamanan dapat dijamin dengan bekerjasama dengan negara jiran yang mempunyai perairan sama.
"Sebab itu kerjasama tiga negara ini sangat baik dan agak progresif pada ketika di mana kita tahu negara jiran kita Indonesia dan Filipina sering kali cuba menuntut isu tertentu terutama di Lautan China Selatan," jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.
Ujarnya, yang terbaharu berkaitan dengan tuntutan kerajaan Sulu kepada Malaysia juga dijangka dapat diselesaikan menerusi kerjasama ini.
"Yang terbaharu berkaitan kerajaan Sulu terhadap Sabah sering kali menimbulkan konflik dan kita lihat konflik ini boleh menjadi krisis merenggangkan hubungan baik kerajaan Filipina dan Malaysia.
"Sebab itu apabila ada kerjasama tiga negara merentasi sempadan terutama berkaitan pertikaian maritim di mana persetujuan dicapai tiga negara.
"Ia untuk memastikan kestabilan dan keamanan di rantau ini terutama kedudukan sesuatu kawasan yang sering kali jadi pertikaian tiga negara," katanya lagi.
Ujarnya, sekiranya kerjasama tidak dijalin, dikhuatiri ketegangan boleh berlaku jika wujud tuntutan tertentu di antara negara jiran.
Jelas Ahmad Marthada, ia sekali gus boleh menarik perhatian kuasa besar untuk campur tangan dan mengeruhkan keadaan.
"Maka dengan adanya kerjasama ini dan juga dengan ada persefahaman seperti dimaklumkan Datuk Seri Hishamuddin bahawa kerjasama ini bukan sahaja memastikan keamanan dan ketenteraman rantau di Laut China Selatan.
"Bahkan lebih penting kesungguhan negara terlibat seperti Indonesia dan Filipina untuk merentasi isu berkaitan pertahanan dan keselamatan di persekitaran negara kita," ujarnya.
Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan mesyuarat Jalinan Kerjasama Trilateral (TCA) di antara Malaysia, Indonesia dan Filipina bersetuju mengembangkan kerjasama tiga negara melangkaui bidang pertahanan.
Jelasnya, persetujuan dicapai dalam pertemuan bersama rakan sejawatannya, Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto dan Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorenzana di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Isnin.