Kerjasama Malaysia-China mudahkan proses eksport durian segar

Astro Awani
Ogos 28, 2024 19:24 MYT
Durian segar dibenarkan memasuki pasaran China mulai tahun ini, berbanding sebelum ini hanya durian sejuk beku boleh dieksport ke negara itu.
KUALA LUMPUR : Kerjasama antara kerajaan Malaysia dan China telah memudahkan proses pengeksportan buah durian segar dari Malaysia ke republik berkenaan.
Menurut Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Aminuddin Zulkipli, proses yang dahulunya sukar kini dipermudah dan menyaksikan permintaan terhadap buah segar itu meningkat di republik tersebut.
"Hasil daripada kerjasama kerajaan dan kerajaan (government to government) Malaysia-China bersama dengan agensi lain di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), menyebabkan proses yang dahulunya dikira sukar kini dipermudahkan.
"Dahulu, untuk melakukan pemprosesan syarat keselamatan daripada ladang ke kilang tidak susah, tetapi untuk pastikan dari satu ladang terus ke pengguna protokolnya lebih rumit.
"Protokol ini menetapkan syarat-syarat dan keperluan fitosanitari yang perlu dipenuhi untuk memastikan durian yang dieksport ke China memenuhi standard keselamatan dan kualiti yang ditetapkan. Ini termasuk kawalan terhadap perosak, amalan pengendalian lepas tuai, dan langkah-langkah keselamatan makanan," katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.
Jelasnya lagi, pengeksportan buah segar itu diunjurkan akan meningkat kepada RM1.8 bilion pada tahun 2030.
"Pada tahun 2022, eksport durian Malaysia ke seluruh dunia mencatat nilai sebanyak RM1.14 bilion iaitu nilai tertinggi dalam sejarah sehingga kini. Secara keseluruhan, durian merupakan penyumbang utama (58.6 peratus) kepada nilai eksport buah-buahan negara pada tahun 2022 daripada keseluruhan nilai esport buah-buahan bernilai RM2.01 bilion.
"Negara China merupakan pasaran esport utama buah durian dari Malaysia dengan nilai eksport sebanyak RM887 juta pada tahun 2022 yang juga merupakan nilai tertinggi dalam sejarah pengeksportan durian ke China. Nilai eksport durian diunjur akan terus meningkat kepada RM1.8 bilion pada tahun 2030," ujarnya.
Pada 24 Ogos lepas, Malaysia melakar sejarah apabila mula mengeksport durian segar ke China selepas dua bulan Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China dimeterai.
Durian segar telah dibenarkan memasuki pasaran China bermula tahun ini, berbanding sebelum ini hanya durian sejuk beku boleh dieksport ke negara itu.
Untuk permulaan, sebanyak 40 metrik tan (MT) durian segar meliputi jenis Musang King, Black Thorn, D24 dan IOI, dari lapan syarikat pengeksport telah dihantar ke China menerusi tiga fasa.
#eksport durian #durian segar #Malaysia #China #Musang King
;