Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan pentingnya memperkukuh kerjasama dalam sektor baharu seperti tenaga, sains, dan teknologi hijau, sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.
- Malaysia menyertai Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) dan eksport durian ke China mencatat hampir RM1 bilion. Dasar pengecualian visa juga meningkatkan jumlah pelancong China ke Malaysia.
- Sejak 2013, hubungan Malaysia-China ditingkatkan ke tahap perkongsian strategik komprehensif, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah US$200 bilion sehingga 2024.
Anwar berkata tahun ini merupakan ulang tahun ke-50 terjalinnya hubungan diplomatik antara Malaysia dan China. Malaysia menganggap China sebagai "sahabat sejati".
Berikutan penguatkuasaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), keterbukaan pasaran antara Malaysia dan China terus ditingkatkan.
Malaysia menyertai Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) di Shanghai sebanyak tujuh kali secara berturut-turut.
Kini produk dari Malaysia seperti durian, manggis dan minyak sawit mendapat sambutan yang semakin baik oleh pengguna China.
Anwar berpendapat bahawa durian mempunyai potensi besar di pasaran China.
"Jumlah eksport durian Malaysia ke China mencatat hampir RM1 bilion pada masa ini dan ia diunjur akan meningkat secara besar-besaran kerana angka itu hanyalah melibatkan satu hingga dua wilayah di China.
"Cuba bayangkan, jika durian Malaysia dapat dieksport ke 10 wilayah di China, betapa besarnya skala pasaran itu," kata Anwar ketika ditemu bual oleh wartawan Kumpulan Media China (CMG) di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, dasar pengecualian visa antara Malaysia dan China juga memudahkan perjalanan rakyat kedua-dua negara.
Anwar menyatakan bahawa dasar itu memainkan peranan penting dalam meningkatkan jumlah pelancong antara kedua-dua negara.
"Kebanyakannya adalah pelancong dari China kerana China negara sumber pelancong yang amat besar.
"Sehingga Oktober lepas, jumlah pelancong China ke Malaysia bertambah kira-kira 186 peratus dan dasar itu secara efektif memacu sektor pelancongan Malaysia," kata Anwar.
Selain itu, Malaysia merupakan antara negara yang paling awal menyokong inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang dianjurkan oleh China.
Sejak hubungan Malaysia dan China ditingkatkan ke tahap perkongsian strategik komprehensif pada 2013, skala kerjasama antara kedua-dua pihak memperlihatkan peningkatan besar.
Jumlah perdagangan dua hala Malaysia-China mencecah US$200 bilion sehingga 2024 dan China kekal sebagai rakan dagang terbesar bagi Malaysia selama 16 tahun secara berturut-turut serta negara sumber pelaburan utama.
Sementara itu, Malaysia menjadi rakan dagang kedua terbesar dan negara pengeksport paling besar bagi China dalam ASEAN.
--BERNAMA-CMG