Kerjasama lebih rapat dengan Thailand demi manfaat kedua-dua negara - PM Anwar

Shafizan Johari
Februari 9, 2023 17:27 MYT
Perdana Menteri dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir di Majlis Minum Petang bersama Diaspora Malaysia di Bangkok, Thailand petang ini. - Foto BERNAMA
BANGKOK: Kerjasama lebih rapat dengan negara jiran Thailand diperlukan bagi memperhebatkan beberapa bidang dalam negara disamping dilihat dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua negara.
Jelas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Thailand antara lain mempunyai kelebihan dalam bidang seperti keselamatan makanan, teknologi maklumat dan pengangkutan.
“Saya berminat untuk meningkatkan hubungan bilateral dengan Thailand kerana ia dapat memberi manfaat kepada kedua-dia negara,” jelas Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Minum Petang bersama Diaspora Malaysia di Thailand di sini pada Khamis.
Tegas Anwar lagi, mesej jelas yang ingin disampaikan dalam kunjungan beliau kali ini ialah untuk memastikan Malaysia membuat yang terbaik bagi memastikan hubungan cemerlang antara kedua -dua negara berjiran dalam bidang keselamatan, pendapatan, perdagangan dan pelaburan dapat diteruskan.
“Tetapi ia juga harus merentasi ekonomi dan keselamatan (dan tidak meminggirkan) kebudayaan dan pendidikan. (Kita ada) banyak persamaan dan cabaran yang didepani bersama,” kata Anwar lagi.
Perdana Menteri tiba di Bangkok dengan pesawat khas pada jam 1 tengah hari ini (waktu tempatan) di Terminal Udara Tentera, Tentera Udara Diraja Thailand diiringi isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail petang tadi bagi rangka lawatan rasmi dua hari ke negara itu.
Ketibaan beliau disambut Timbalan Perdana Menteri, Don Pramudwinal yang mewakili kerajaan Thailand.
#Anwar Ibrahim #diaspora Malaysia #Thailand #lawatan rasmi
;