Kerjasama LBS dan syarikat dari China, buka laluan pelaburan ke Malaysia

Haikal Raman
Mei 23, 2023 09:53 MYT
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut mencemar duli dalam menghadiri salah satu sesi perkongsian yang berlangsung semasa majlis minum petang di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur baru-baru ini.
PETALING JAYA: Hubungan baik dengan delegasi dan pemain industri utama dari China dilihat mampu membuka peluang kerjasama serta menarik pelaburan asing masuk ke dalam negara, sekali gus membantu memacu ekonomi Malaysia.
Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Bhd., Tan Sri Ir Lim Hock San berkata, lawatan delegasi dari China yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Fujian Provincial People’s Congress, Zhou Zuyi baru-baru ini adalah sangat signifikan dalam mewujudkan peluang pertukaran pendapat, maklumat dan pandangan.
LBS secara langsung terlibat dengan dua sesi perkongsian yang diadakan sempena lawatan timbal balik ke Malaysia berikutan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China pada April lalu.
“Pertemuan baru-baru ini berjalan dengan lancar dan kami yakin ia mampu meneroka peluang kolaborasi yang memberi manfaat kepada perkembangan ekonomi bagi kedua-dua buah negara.
“Malah, sekiranya Fujian berminat serta merancang untuk membuat pelaburan di Malaysia, ianya bakal membuka peluang pelaburan yang lebih besar di samping mewujudkan peluang pekerjaan dan pemerkasaan ekonomi negara.
“Kami juga percaya bahawa ia turut bakal memberi manfaat kepada China untuk memulakan pasaran dan peluang perdagangan dua hala,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di pejabat LBS Suite di sini pada Khamis.
Tarik pelaburan syarikat dari China, pacu ekonomi negara
Salah sebuah sesi perkongsian tersebut berlangsung semasa majlis minum petang di hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, di mana Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan berangkat bercemar duli.
Dalam sesi perkongsian berasingan yang diadakan pada hari sama, LBS turut terlibat dengan mesyuarat delegasi Kerajaan Fujian yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, bertempat di hotel St. Regis Kuala Lumpur.
Menurut Hock San, perbincangan tersebut menyentuh tentang prospek kerjasama yang akan diterokai dengan tumpuan khusus kepada pembangunan Zon Ekonomi Tepi Laut Melaka (M-WEZ).
“Melalui anak syarikat LBS, Leaptec Engineering Sdn. Bhd. memeterai perjanjian dengan kerajaan Melaka untuk membangunkan 1,200 ekar tanah di M-WEZ. Ketua Menteri Melaka turut menyatakan kesediaan beliau dan kerajaan negeri untuk terus mempromosikan Melaka kepada pemimpin utama China bagi memacu kestabilan ekonomi.
“LBS positif bahawa China akan terus memainkan peranan besar dalam pembangunan dan kemajuan negara agar bergerak ke hadapan. Kami berharap dapat melihat peningkatan jumlah usaha sama dan kerjasama antara Malaysia dan China pada masa akan datang,” ujarnya.
Terdahulu pada April, semasa lawatan Anwar ke China, sebanyak 19 perjanjian persefahaman telah dimeterai di antara syarikat-syarikat Malaysia dan syarikat-syarikat China dengan komitmen pelaburan sebanyak RM170 bilion dari China ke Malaysia.
#LBS #pelaburan asing #FDI #hartanah #China
;