Kerjasama koperasi Indonesia tubuhkan akademi penerbangan
Astro Awani
September 2, 2019 20:00 MYT
September 2, 2019 20:00 MYT
Penubuhan Coop Air Pilot Academy bakal memberi latihan lengkap bagi tujuan penyediaan juruterbang terlatih di dalam bidang penerbangan awam.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan EastCap Berhad, Datuk Seri Zakwanhafiz Ahmad Ansari menjelaskan, ia hasil kerjasama dengan Rumah Koperasi Indonesia (RKI) pada 29 Ogos lalu.
"Ia adalah sekolah penerbangan pertama bagi yang akan beroperasi di Jakarta, Indonesia.
"Akademi ini akan melahirkan graduan-graduan bagi memenuhi permintaan di dalam industri penerbangan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
EastCap Berhad adalah sebuah syarikat pemasaran dan pembangunan Super Dron dengan teknologi kepintaran buatan (AI).
Pelebaran sayap ke Indonesia kali ini lebih tertumpu kepada sektor latihan penerbangan udara.
Sebelum ini, EastCap Berhad telah menjalinkan usahasama dengan syarikat dari China iaitu, EHang Intelligent Equipment (Guangzhou) dan Strong Rich Holdings Limited bagi memperkenalkan Super Dron dengan teknologi AI sebagai revolusi pengangkutan udara pertama di dunia.
Zakwanhafiz menjelaskan, bagi pengambilan pertama, pelatih-pelatih yang akan menyertai akademi penerbangan ini terdiri daripada anak-anak ahli RKI dan Asean Cooperative Association (ACO).
"Ia merupakan lembaran baharu terhadap masa depan yang cemerlang bagi semua ahli koperasi seluruh Asia selaras dengan perkembangan industri penerbangan dunia.
“Selain akademi penerbangan awam, EastCap dengan kerjasama RKI turut bercadang untuk menubuhkan satu lagi sekolah penerbangan iaitu 'Super Drone Pilot Academy'.
"Akademi Penerbangan Super Dron ini akan mewujudkan bidang baharu dalam sektor pekerjaan yang bakal menjadi permintaan tinggi di seluruh dunia,” katanya.
Tambahnya, tenaga mahir perlu dilahirkan bagi mengendalikan Super Dron yang dijangka menjadi pengangkutan utama di seluruh dunia.
Katanya lagi, ia termasuk bagi kegunaan sebagai pengangkutan awam, pengangkutan logistik, pengangkutan kecemasan, serta pelbagai kegunaan lain.
Oleh itu jelas ZakwanHafiz, penubuhan kedua-dua akademi penerbangan itu merupakan keperluan semasa bagi memenuhi permintaan sumber manusia dalam bidang pengangkutan udara, selaras dengan kemajuan teknologi masa depan.
"Kedua-dua akademi ini akan menjamin masa depan anak-anak ahli koperasi agar tidak ketinggalan di dalam perkembangan teknologi yang kian berkembang.
"Kami mewujudkan slogan ‘Don’t Just Aspire to make a living, aspire to make difference’ agar akademi ini menjadi antara yang terbaik di dunia," katanya.
#ASEAN
#China
#Coop Air Pilot Academy
#dron
#Indonesia
#Jakarta
#kereta
#MoU
#penerbangan
#RKI
#rumah
#sekolah