Kerjasama koperasi boleh bantu kurangkan harga barangan - PM
Firdaus Azil
Februari 18, 2022 18:34 MYT
Februari 18, 2022 18:34 MYT
ISKANDAR PUTERI: Pengurusan koperasi di seluruh negara boleh membantu menstabil dan mengurangkan harga barangan, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ahli Parlimen Bera itu berkata, dengan kekuatan seramai 6 hingga 7 juta ahli, serta hampir 14,000 koperasi berdaftar di seluruh negara, mereka (koperasi) boleh memainkan peranan yang penting untuk mengawal harga barangan.
Katanya, sebagai contoh, boleh diwujudkan kerjasama antara koperasi-koperasi, dan diusahakan pembelian barangan secara pukal untuk dijual secara runcit.
“Kalau koperasi pemborongan, membeli produk secara pukal, dan produk tersebut diagihkan kepada koperasi, kedai-kedai koperasi (itu kemudian) menjual barangan runcit dan sebagainya, koperasi tentu dapat turunkan harga.
“Kerana pembelian pukal tentu saja koperasi boleh dapat harga murah, dan koperasi pemborongan tak perlu bimbang pelanggan tak beli produk, kerana sudah ada koperasi di seluruh negara yang menjual produk runcit,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata, semua itu boleh dijadikan kenyataan, dengan syarat ada kerjasama yang erat antara koperasi-koperasi yang berdaftar.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Program Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia, anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di sini, hari ini.
“Apa yang berlaku kadang-kadang, (berdasarkan pengalaman) saya pernah jadi menteri yang jaga koperasi, ahli koperasi ada kedai koperasi, tapi kerana kedai di sebelah jual harga lima sen saja kurangnya, mereka akan pergi ke kedai jual harga kurang lima sen.
“Kalau beli di kedai koperasi, keuntungan kedai itu akan dipulang kembali kepada koperasi melalui dividen, kerana ia milik mereka. Tapi kerana tak ada sifat kesetiaan kepada koperasi, ahli yang begini ramai akhirnya tidak berjaya,” katanya lagi.
Dalam sidang media yang diadakan selepas itu, Ismail Sabri berkata, kerjasama antara koperasi membolehkan mereka mewujudkan pusat pemborong, yang akhirnya menjalankan aktiviti pembelian barangan secara pukal.
“Kalau satu (koperasi) pemborong diwujudkan, kalau pemborong ini beli secara pukal, bulk purchase, tentu saja pembelian itu lebih murah. Kalau mereka mahu jadi pengimport ayam sebagai contoh, kita beri AP kepada pemborong, boleh bekalkan kepada kedai di bawah mereka
“Saya kira bukan setakat koperasi sahaja, kalau boleh digabungkan kedai di bawah FAMA, kedai di bawah Felda, dengan kerjasama koperasi dan sebagainya, sudah pasti ia akan menjadi lebih baik,” tambahnya.