Kerjasama kerajaan, pemain industri penting supaya Malaysia kekal berdaya saing - Agong

Fareez Azman
Oktober 30, 2023 15:45 MYT
Al-Sultan Abdullah bertitah, kerjasama itu amat penting dalam memastikan Malaysia kekal kukuh dan berdaya saing di peringkat global. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar kerajaan, pemain industri dan semua pihak terus memberikan keutamaan kepada pembelajaran sepanjang hayat untuk rakyat.
Titah baginda, kerjasama itu amat penting dalam memastikan Malaysia kekal kukuh dan berdaya saing di peringkat global.
"Oleh itu, adalah penting bagi kerajaan, pemain industri untuk bekerjasama mengembangkan peluang pembelajaran dan pembangunan kepada rakyat kita.
"Untuk Malaysia kekal kukuh dan berdaya saing pada masa hadapan, tenaga kerja dan bakat kita juga mesti didorong dan diilhamkan untuk menjadikan pembelajaran sepanjang hayat dan meneruskan keutamaan pembangunan peribadi," titah baginda.
Jelas Al-Sultan Abdullah lagi, momentum pertumbuhan dan pemulihan ekonomi bergantung kepada bakat dan tenaga kerja di negara ini.
Justeru, titah baginda, dasar serta mekanisme yang betul perlu diperkenalkan dalam memastikan kemahiran dan peluang pekerjaan kepada semua lapisan masyarakat dapat diwujudkan.
"Untuk meneruskan momentum pertumbuhan dan pemulihan negara, semua pihak mesti terus melabur dalam bakat dan tenaga kerja di negara ini.
"Itulah sebabnya usaha Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan HRD Corp adalah penting dalam membantu negara mencapai matlamat ini dengan mewujudkan dasar yang betul dan memastikan penyampaian dalam mekanisme struktur untuk latihan dan dana latihan.
"Saya juga difahamkan bahawa KSM memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk menyediakan peningkatan kemahiran, penempatan, pekerjaan, peluang menjana pendapatan kepada komuniti yang memerlukan seperti ibu tunggal, bekas banduan, warga emas dan orang kurang upaya.
"Usaha yang baik ini untuk memastikan tiada yang tertinggal, dan kita boleh berkembang bersama sebagai sebuah negara. Dengan inisiatif yang dikemukakan oleh KSM dan usaha kolektif pemain industri, saya yakin Malaysia boleh mencapai matlamat 35 peratus tenaga kerja kemahiran menjelang 2030," titah baginda lagi.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan National Human Capital Conference and Exhibition (NHCCE) anjuran Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Isnin.
#ksm #HRD Corp #sumber manusia #Yang di-Pertuan Agong
;