Kerjasama kerajaan, PDRM banteras jenayah terhadap wanita dan kanak-kanak

Madiha Abdullah
Jun 25, 2021 22:21 MYT
Rina diberi penjelasan ketika lawatan di Pusat Temuduga Kanak-Kanak Polis Diraja Malaysia hari ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun mahu kerjasama antara kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diperkukuhkan, khususnya dalam menangani isu jenayah seksual dan kanak-kanak.
Kerjasama itu penting terutama ketika kes-kes sedemikian mencatatkan peningkatan yang ketara sejak kebelakangan ini.
Menurut beliau, satu mesyuarat tindakan bersepadu telah diadakan pada 15 Jun lalu membabitkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, PDRM dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).
"Ia bertujuan untuk melihat kembali langkah dan tindakan berkaitan kes melibatkan gangguan dan salah laku seksual ke atas wanita dan kanak-kanak di media sosial.
"Penggunaan internet dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat sejak kebelakangan ini, tetapi pengawasan ibu bapa pula semakin longgar.
"Justeru amat penting untuk Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) diperkukuhkan dengan kerjasama semua pihak," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Temuduga Kanak-Kanak Polis Diraja Malaysia di ibu negara, pada Jumaat.
Kerjasama itu, tambahnya, bukan sahaja akan membantu membendung jenayah berkenaan tetapi juga membawa penjenayah dikenakan tindakan sewajarnya.
#Rina Mohd Harun #Polis Diraja Malaysia #NGO #PDRM #media sosial #Kanak-kanak #wanita #jenayah
;