Kerjasama kerajaan negeri, syarikat swasta bantu belia miliki rumah - Najib

Harits Asyraf Hasnan
Mac 22, 2016 11:40 MYT
Kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dengan syarikat-syarikat pembinaan mampu menggalakkan pembinaan rumah di bawah nilai harga pasaran. - Gambar fail
Kerajaan negeri digalak menyediakan tanah dengan nilai premium yang rendah dalam usaha membantu merealiasikan impian golongan muda memiliki rumah pada harga mampu milik.
Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dengan syarikat-syarikat pembinaan mampu menggalakkan pembinaan rumah di bawah nilai harga pasaran.
"Kebetulan beberapa hari yang lalu saya telah melancarkan satu program dengan kerajaan negeri Pahang di mana rumah yang dibina oleh (syarikat pembinaan) swasta atas tanah yang diluluskan oleh kerajaan (negeri Pahang) dengan premium yang lebih rendah dijual dengan harga RM175,000 tetapi harga pasarannya RM300,000 ke atas.
"Ini contoh kalau kerajaan negeri bekerjasama menyediakan tanah dengan premium yang rendah. Rumah-rumah yang bawah dari harga pasaran boleh dibina dan ditawarkan kepada golongan belia," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Najib menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan tindakan yang dilakukan kerajaan dalam usaha menggalakkan pembelian rumah kepada orang golongan belia.
Selain itu, Najib berkata melalui Bajet 2016, peruntukan sebanyak RM1.6 bilion disalurkan untuk membina projek-projek perumahan rakyat di seluruh negara.
"Sejumlah 175,000 unit Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), 10,000 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang dibangunkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan pemberian subsidi RM20,000 setiap unit dan 100,000 unit rumah di bawah Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M)," katanya.
#Bajet 2016 #Kerajaan negeri digalak menyediakan tanah dengan nilai premium rendah untuk membantu golongan muda memiliki rumah harga mampu milik #Najib Razak
;