Kerjasama Kementerian Pertahanan bersama pemimpin tempatan tidak wajar dipertikai
Ruzaini Zulkepli
Mac 12, 2018 15:45 MYT
Mac 12, 2018 15:45 MYT
Kerjasama di antara warga Kementerian Pertahanan bersama kepimpinan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) wajar diperhebat bagi memastikan keselamatan rakyat di negeri ini terjamin.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan kerjasama itu adalah berjalan lancar serta tidak wajar dipertikaikan oleh sesetengah pihak.
"Hubungan kerjasama mereka juga tidak boleh dijual beli kerana agenda utama kita adalah untuk memastikan keselamatan dan pertahanan di Sabah ini.
"Kita juga akan memastikan bahawa kesiapsiagaan kesemua anggota di Sabah berada di atas tahap yang membanggakan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Jelajah Perkasa Perwira di Pangkalan TLDM, Sepanggar, hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Rahman Dahlan, Panglima Angkatan Tentera,Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid dan Panglima Armada Timur TLDM, Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman.
Menurut Hishammuddin, perjumpaan seperti ini akan mengeratkan lagi hubungan di antara semua pihak yang bertanggungjawab bagi membincangkan soal keselamatan di negeri ini.
"Hari ini saya dah turun bermakna bahawa kita telahpun bersiap sedia untuk memastikan agenda kita untuk membela kebajikan dan keselamatan rakyat di negeri ini berjalan lancar", katanya.
Terdahulu, Hishammuddin turut merasmikan kiosk Petrol (Petronas) yang merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pertahanan bagi memastikan kemudahan terbaik diberikan kepada anggota TLDM.
Beliau yang juga merangkap Menteri Tugas-tugas Khas turut memperuntukkan RM 10,000 untuk menaik taraf Markas Angkatan Tentera Malaysia (BAKAT ATM) di Sepanggar selain menaik taraf Projek Jambatan Gentisan yang dijangka siap Oktober tahun hadapan.
Perjumpaan ini menyaksikan kira-kira 3,000 anggota dari Markas Angkatan Tentera Malaysia (BAKAT ATM), anggota Kementerian Pertahanan, warga TLDM dan warga veteran berkumpul dalam satu bumbung.
#agenda
#Angkatan Tentera Malaysia
#ATM
#DUN
#Hishammuddin Hussein
#Kementerian Pertahanan
#Menteri Pertahanan
#Parlimen
#TLDM