Kerjasama jabatan pastikan pelaksanaan pendaftaran vaksin automatik - Dr Malina

Astro Awani
Jun 10, 2021 06:18 MYT
Jelas Dr Malina, seharusnya 32 juta rakyat perlu didaftarkan secara automatik jika pendekatan itu diambil disebabkan faktor kemudahan pemakluman individu. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerjasama jabatan serta sektor berkenaan diperlukan untuk memastikan kejayaan pelaksanaan vaksin automatik, kata Pakar Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman.
Menurut beliau, seharusnya 32 juta rakyat perlu didaftarkan secara automatik jika pendekatan itu diambil disebabkan faktor kemudahan pemakluman individu.
"Pada pandangan saya kalau strategi berkenaan diambil, sepatutnya ambil keseluruhan 32 juta yang sedia ada, daripada angka tersebut, biasanya tak semua yang mempunyai kemudahan untuk memaklumkan dari segi pengesahan dan sebagainya.
"Kalau kita hendak ambil sekadar 80 peratus, saya rasa angka tersebut agak sukar untuk dilaksanakan.
"Satu lagi, kita memikirkan apabila melihat pendaftaran secara automatik ini mekanisme terbaik dalam konteks sekarang ini kita memerlukan kerjasama antara jabatan atau sektor berkenaan untuk membolehkan pendaftaran secara automatik dapat dilaksanakan," katanya semasa sidang video pada Khamis.
Kata Khairy, apa yang penting ialah memastikan proses pendaftaran secara automatik itu tidak rumit.
Dalam pada itu, kata Dr Malina, tinjauan di lapangan perlu untuk memastikan capaian suntikan vaksin diperluas terutama di kawasan luar bandar.
Ujarnya, peranan ketua kampung atau pemimpin kawasan dilihat sangat besar untuk menjadi teladan kepada penduduk di kawasan berkenaan.
#Khairy Jamaluddin #Muhyiddin Yassin #COVID-19 #vaksin #PICK #Dr Malina Osman