Kerjasama Farm Fresh-UPM tingkat minat mahasiswa ceburi industri tenusu dan pertanian
Fareez Azman
Mac 20, 2023 15:32 MYT
Mac 20, 2023 15:32 MYT
SERDANG: Farm Fresh Bhd hari ini memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi membangunkan Pusat Edutourism dalam meningkatkan minat mahasiswa menceburi industri tenusu serta bidang pertanian.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh, Azmi Zainal, kerjasama kali kedua ini dijangka membuka lebih banyak peluang latihan industri kepada pelajar universiti disamping memperkukuhkan aktviti pengajaran dan pembelajaran.
"Ini perjanjian kedua, pertukaran dokumen yang kedua, lima tahun lalu sudah habis, ini kali kedua kerjasama lima tahun. Kita (Farm Fresh) di sini sentiasa ada proses penambahbaikan di sini, dengan perbelanjaan besar RM25 juta kita labur.
"Kalau tengok ladang ini walaupun ladang terkecil Farm Fresh, ia ladang terbesar di negeri Selangor dengan jumlah 500 ekor lembu. Dari semasa ke semasa kita tambah input baharu di sini, menjadi pusat pembelajaran," jelasnya.
Tambah Azmi, selain bidang pertanian, pelbagai bidang boleh diterokai bagi memanfaatkan pelajar dan industri.
"Dekat sini bukan hanya orang yang datang bukan hanya melihat proses tenusu tapi ada banyak aktiviti lain, kita ada petting zoo, kita ada ladang sayur, dusun perikanan, penternakan kambing dan banyak lagi secara menyeluruh.
"Kerjasama kita dengan UPM bukan hanya melatih bidang penternakan, kita sekarang mula melatih bidang pemasaran, perniagaan, pelancongan, sains makanan dan banyak bidang kita dah latih (pelajar) tetapi bukan hanya untuk UPM sahaja, juga universiti lain juga," jelasnya lagi.
Terdahulu, Azmi menyempurnakan majlis pertukaran MoA dengan Naib Canselor UPM, Datuk Prof Mohd Roslan Sulaiman disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Pusat Kecemerlangan Industri (iCoE) Tenusu UPM-Farm Fresh di sini pada Isnin.
Sementara itu, menurut Mohamed Khaled, menerusi kerjasama itu ia dijangka dapat meningkatkan aktiviti penyelidikan dalam membantu memanfaatkan rakyat.
"Dalam kerjasama ini pihak Farm Fresh bukan sahaja menyumbang aktiviti penyelidikan tetapi menyediakan dan menunjukkan usaha pendekatan cara menternak lembu dan sebagainya dari segi penternakan yang mana ia apa sahaja ilmu boleh dimanfaatkan dengan UPM dan apa yang didapati boleh dipindahkan kepada masyarakat.
"Kerana di luar sana ada masyarakat kecil atau besar terlibat dalam membela lembu dan sebagainya. Kedua, ia memberi pendedahan kepada pelajar untuk dilatih bukan sahaja melalui buku dan bilik kuliah tetapi di lapangan ia didedahkan.
"Ketiga, apabila ia mengadakan Edutourism, ramai akan datang melihat apa yang dilakukan supaya timbul minat masyarakat terlibat dalam industri ini dan sektor ini," katanya lagi.
Farm Fresh telah melabur kira-kira RM25 juta dalam kerjasama itu sejak tahun 2017.