Kerjasama erat MABMI, SAABM perkukuhkan lagi kedudukan budaya bangsa Melayu

Astro Awani
Oktober 1, 2024 15:35 MYT
MABMI menghargai usaha Ismail Sabri (tengah) dalam memartabatkan Bahasa Melayu, termasuk penggunaan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. -Foto MABMI
KUALA LUMPUR: Majelis Adat Budaya Melayu Indonesia (MABMI) berhasrat untuk mengadakan kerjasama lebih erat dengan Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu (SAABM) bagi mengukuhkan lagi kedudukan budaya bangsa Melayu.

Ringkasan AI
  • MABMI berhasrat untuk bekerjasama lebih erat dengan SAABM bagi mengukuhkan kedudukan budaya Melayu.
  • MABMI menghargai usaha Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam memartabatkan Bahasa Melayu, termasuk penggunaan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
  • MABMI memainkan peranan penting dalam melestarikan budaya Melayu di Indonesia, merangkumi aspek ekonomi dan pendidikan.

MABMI menyampaikan hajat untuk menjalin kerjasama itu kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merupakan pengasas dan penaung SAABM dalam pertemuan di Kuala Lumpur, malam tadi.
“Pihak MABMI memandang tinggi usaha yang digerakkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri sewaktu pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia sehingga hari ini. Kami melihat beliau sebagai seorang pejuang Bahasa Melayu.
“Telah banyak usaha yang dilaksanakan oleh beliau, seperti penggunaan Bahasa Melayu sewaktu berucap di Perhimpunan Agung PertubuhanBangsa-Bangsa Bersatu Sesi Ke-77 pada 24 September 2022.
"Perkara tersebut adalah satu sejarah yang membanggakan buat orang Melayu,” kata Prof DR OK Saidin SH, Ketua Umum Pengurus Besar MABMI.
OK Saidin mengetuai delegasi MABMI melakukan kunjungan hormat Ismail Sabri bagi menyatakan hasrat dan jemputan mereka.
MABMI adalah sebuah lembaga sosiokultural tempat berhimpunnya masyarakat Melayu Indonesia, yang bermatlamat memelihara dan mengembangkan adat serta kebudayaan Melayu bagi masyarakat pendukungnya.
Dalam pertemuan ini, Ismail Sabri turut menghargai usaha MABMI yang ditubuhkan sejak tahun 1971 di Sumatera Utara.
Menurut Ismail Sabri, MABMI telah memainkan peranan yang sangat penting dalam melestarikan budaya Melayu terutama di Medan, Indonesia.
“Usaha mereka ini tidak tertumpu kepada memperkasa budaya Melayu sahaja, malah merentasi aspek ekonomi dan pendidikan,” katanya.
Ismail Sabri turut berkongsi aspirasi yang sama dengan MABMI seperti usaha pemerkasaan Bahasa Melayu yang kian terpinggir dalam masyarakat hari ini.
Dalam pertemuan malam semalam, delegasi MABMI terdiri daripada Ketua Umum Pengurus Besar Prof DR OK Saidin SH, Ketua Pengurus Besar Asro Kamal Rokan, Ketua Pengurus Besar Datuk Adil Fredy Haberham, Ketua Pengurus Besar Azrin Naim; dan Pengurus Besar Faris Saleh Bashel.
#Majelis Adat Budaya Melayu Indonesia #ismail sabri yaakob #MABMI #SAABM
;