Kerjasama dua hala India-Malaysia bergantung kepada kepercayaan, kebolehpercayaan bersama - Menteri Luar

Bernama
Mac 28, 2024 21:15 MYT
Jaishankar berkata India menghargai kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN yang akan datang pada tahun 2025 dan berharap hala tuju yang lebih jelas dan hasil yang lebih muktamad daripada perbincangan ASEAN. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Memupuk kepercayaan dan kebolehpercayaan bersama sebagai asas untuk kerjasama dua hala antara India dan Malaysia adalah sangat penting, kata Menteri Luar India, Dr S. Jaishankar.
Beliau yang kini dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula Rabu, berkata dalam India dan Malaysia melangkah ke arah hubungan yang lebih erat, mereka harus mengakui cabaran yang ditimbulkan oleh landskap global yang berubah dan menekankan kepentingan memanfaatkan ciri unik yang dikongsi oleh kedua-dua negara.
"Dan satu cara yang membolehkan kita menyokong antara satu sama lain adalah dengan membina faktor-faktor yang sangat istimewa pada zaman kita ini.
Hakikat bahawa kami mempercayai antara satu sama lain. Hakikat bahawa dalam perkara-perkara penting kita boleh mengharapkan antara satu sama lain. Hakikatnya dalam banyak cara, sama ada secara fizikal dan budaya, emosi, kita lebih dekat antara satu sama lain," katanya.
Beliau menyatakannya dalam ucaptama semasa sesi interaksi dengan komuniti India di Malaysia di sini pada Rabu malam yang antaranya dihadiri ahli politik India, pemimpin masyarakat, ahli akademik dan media asing.
Beliau seterusnya menekankan bahawa dalam dunia hari ini, perkongsian antara negara sering bergantung kepada kepercayaan, keakraban dan kebolehpercayaan, mengutamakan kepentingan faktor-faktor ini dalam memupuk hubungan yang kukuh dan berkekalan.
Semasa lawatannya ke Malaysia, Jaishankar bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bertukar-tukar pandangan serta membincangkan kerjasama dalam bidang perdagangan, sains dan teknologi, pendidikan, pertanian, pelancongan, pertahanan dan digital serta isu-isu serantau termasuk Myanmar.
Beliau juga bertemu Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dengan tumpuan kepada trajektori hubungan India-Malaysia, selain beberapa ketua pegawai eksekutif di Malaysia.
India merupakan rakan dagangan global ke-12 terbesar Malaysia pada tahun lepas, dengan jumlah perdagangan mencecah RM77.76 bilion (US$16.53 bilion).
Mengenai soalan yang dikemukakan oleh wakil dari Times of India berkaitan momentum hubungan India-ASEAN dalam bergerak ke hadapan pada masa Malaysia akan menjadi pengerusi kumpulan serantau itu pada tahun 2025, Jaishankar menekankan keperluan untuk melanjutkan kerjasama dan mengeratkan hubungan dengan ASEAN dan India.
Beliau berkata India menghargai kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN yang akan datang pada tahun 2025 dan berharap hala tuju yang lebih jelas dan hasil yang lebih muktamad daripada perbincangan ASEAN.
Menyentuh bidang-bidang kerjasama yang berpotensi antara India dan ASEAN, menteri itu menekankan kepentingan menerima teknologi baharu dan kemajuan digital, sambil menekankan kepentingan memanfaatkan industri baharu yang muncul seperti industri teknologi tinggi berpotensi, untuk membuka peluang baharu bagi pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.
Beliau juga menegaskan kepentingan meningkatkan mobiliti dan perkongsian bakat, mengakui ia sebagai faktor penting dalam memupuk kemakmuran dan kemajuan bersama.
Bagaimanapun, selain perkongsian ekonomi, menteri itu menekankan kepentingan membangunkan aspek-aspek kebudayaan dalam hubungan berkenaan.
Beliau juga menekankan warisan budaya bersama dan hubungan bersejarah antara India, ASEAN dan Malaysia, menekankan keperluan untuk menggalakkan pelancongan, pengembaraan dan interaksi rakyat dengan rakyat yang lebih besar.
Jaishankar juga menyifatkan diaspora India sebagai "jambatan hidup" yang menghubungkan India dengan negara lain dan menekankan peranan diaspora dalam memupuk hubungan lebih erat antara India dan negara-negara di seluruh dunia, termasuk negara anggota ASEAN dan Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, menteri itu menegaskan evolusi perkongsian strategik yang dipertingkatkan antara India dan Malaysia yang dimulakan pada tahun 2015, dengan menyatakan pertumbuhan ketara dalam perdagangan dan pelaburan silang antara kedua-dua negara.
Beliau juga berkata untuk beberapa waktu sekarang, terdapat perbincangan mengenai membawa beberapa institusi pendidikan terkemuka India, seperti Indian Institute of Technology ke Malaysia, untuk mengukuhkan keupayaan kedua-dua negara melalui pembelajaran bersama dan perkongsian pengalaman.
Menteri dalam ucapannya juga menggariskan peranan India di pentas global, menekankan sumbangannya dalam menangani cabaran global, seperti COVID-19, konflik dan perubahan iklim.
-- BERNAMA
#COVID19 #pembelajaran bersama #lawatan rasmi #ciri unik
;