Kerjasama dengan JCS, sumber manusia cabaran MB Johor yang baharu - Penganalisis
Israr Khalid
Mac 15, 2022 05:25 MYT
Mac 15, 2022 05:25 MYT
KUALA LUMPUR: Mendapat kepercayaan dan kerjasama daripada seluruh anggota perkhidmatan awam negeri Johor iaitu Johor Civil Service (JCS) menjadi cabaran pertama Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar (MB) baharu negeri itu.
Pengurus Penyelidikan Merdeka Centre Tan Seng Keat berkata, hanya dengan mempunyai hubungan yang baik dengan institusi itu, beliau dapat memastikan segala dasar pembangunan berjaya dilaksanakan dengan baik.
Beliau percaya, Onn yang masih muda, berbanding purata umur Menteri Besar sebelum ini, mempunyai idea baharu dan lebih dinamik untuk memajukan Johor.
“Biasanya UMNO ada hierarki, jadi biasanya orang yang veteran yang akan dapat jawatan MB, tetapi kalau kita tengok pembangunan politik di Malaysia, di negeri lain pun ada MB yang muda.
“Malah Dr (Mohamad) Khir Toyo menjadi MB dalam umur 30-an, MB Selangor sekarang pun (dilantik) ketika bawah umur 40 tahun,” katanya merujuk kepada Datuk Seri Amirudin Shari yang ketika ini berusia 42 tahun dan dilantik sebagai MB pada 2018.
Sesudah mendapat keyakinan dan kerjasama penuh daripada JCS, Onn Hafiz harus segera menyelesaikan antara isu utama yang membelenggu Johor, yakni kehilangan tenaga kerja ke negara jiran Singapura, kata Tan.
Menurutnya, MB baharu itu perlu mencari jalan untuk menarik mereka semula kembali mencari rezeki di negeri kelahiran sendiri.
“Johor adalah negeri yang paling maju selepas Kuala Lumpur dan Selangor di mana Keluaran Dalam Negeri Kasarnya (KDNK) antara yang paling teratas di Malaysia.
"Tetapi, bakat-bakat kita tertarik ke Singapura kerana matawangnya.
“Bakat-bakat kita selalunya tidak boleh kekal, kerja sekejap dalam tiga ke lima tahun, kemudian dia akan ke Singapura sebab ganjarannya lebih lumayan di sana.
“Jadi bagaimana caranya untuk beliau menguruskan cabaran ini (harus difikirkan),” ujarnya lagi.
Tonton temu bual penuh bersama Tan dalam program Agenda AWANI yang dihoskan oleh Essan Yahya, di sini: