Kerjasama dengan Interpol, Aseanapol kesan 20 etnik Uighur - TPM Zahid

Azyyati Ahmad
November 22, 2017 12:57 MYT
Datuk Seri Ahmad Zahid ketika melancarkan Sidang Kemuncak Menangani Pembiayaan Keganasan Kali Ke-3 anjuran Bank Negara Malaysia. -Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol) dan Aseanapol bagi mengesan 20 etnik Uighur Muslim dari China yang melarikan diri dari pusat tahanan imigresen di selatan Thailand, semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ketika ini belum ada maklumat sahih sama ada mereka memasuki negara ini atau sebaliknya.
"Jika mereka ada di sini (Malaysia), kita akan tahan mereka. Kita akan kerjasama dengan Aseanapol dan Interpol. Kita ada mekanisme untuk mengesan mereka," katanya.
Tambahnya, PDRM ada menerima maklumat pihak berkuasa Thailand dan sedang mengesan kumpulan etnik Uighur yang melarikan diri itu.
Ahmad Zahid ditemui selepas melancarkan Sidang Kemuncak Menangani Pembiayaan Keganasan Kali Ke-3 anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama Pusat Pelaporan dan Analisis Transaksi Keuangan Indonesia (PPATK) dan Unit Perisikan Kewangan Australia (AUSTRAC) di Sasana Kijang, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Kehakiman Australia, Michael Keenan, Menteri Penyelaras Politik, Perundangan dan Keselamatan Indonesia, Jeneral Wiranto dan Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim.
#Aseanapol #Bank Negara Malaysia #BNM #etnik Uighur Muslim #Interpol #PDRM #Polis Diraja Malaysia #Zahid Hamidi
;