Kerjasama dengan Indonesia penting tangani pekerja tanpa permit - Duta Besar Malaysia

Bernama
Ogos 21, 2023 22:00 MYT
Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin, menekankan kepentingan kerjasama antara kedua-dua negara dalam mengatasi isu pekerja tanpa permit yang sah. - Facebook / Kedutaan Besar Malaysia, Jakarta
JAKARTA: Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin, menekankan kepentingan kerjasama antara kedua-dua negara dalam mengatasi isu pekerja tanpa permit yang sah melalui kementerian dan agensi berkaitan.
Kenyataan itu dibuat ketika beliau mengadakan pertemuan dengan ketua Badan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (BP2MI), Benny Rhamdani, sempena lawatan ke ibu pejabat BP2MI di Pancoran, Jakarta Selatan, pada Isnin.
"Tanpa kerjasama kedua-dua pihak, pastinya sukar untuk kita memberikan perlindungan yang sewajarnya," katanya dalam mesyuarat itu sambil menambah Malaysia sentiasa komited untuk memberi perlindungan kepada semua pekerja asing.
Beliau percaya PMI kini mendapat perlindungan lebih baik selepas termeterainya memorandum persefahaman (MoU) Perekrutan dan Perlindungan Pekerja Rumah Tangga Indonesia (MoU PDI) pada 2022. "Ini sudah tentu meningkatkan kualiti perlindungan mereka," katanya.
Sementara itu, Benny berkata pihak berkuasa Indonesia sedang giat memerangi jenayah pemerdagangan manusia.
Kira-kira 2,300 mangsa pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan dan 800 individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pemerdagangan manusia dari 5 Jun hingga 9 Ogos lalu.
Delegasi dari Kedutaan Besar Malaysia, diketuai oleh Syed Md Hasrin, turut dibawa melawat "pusat pemerintahan" BP2MI, yang memantau aktiviti 4.7 juta pekerja asing Indonesia di luar negara.
-- BERNAMA
#Malaysia #Indonesia #pekerja tanpa permit #pekerja migran #Duta Besar Malaysia
;