Kerjasama dengan GLC, swasta perlu dipertingkat - Tengku Zafrul

Farhana Joni
November 8, 2020 23:04 MYT
Tengku Zafrul menjelaskan kerajaan perlu meningkatkan kerjasama dengan syarikat GLC dan swasta. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meningkatkan kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta demi memastikan ekonomi negara pulih dengan cepat.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata antara lain kerjasama itu mampu menyediakan banyak peluang pekerjaan sekali gus mengurangkan pengangguran di kalangan rakyat.
Jelas beliau, ekonomi Malaysia masih bertahan walaupun dalam krisis COVID-19, namun ada beberapa sektor yang terjejas seperti pelancongan dan peruncitan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Aliran tunai sangat penting sebab itu kita perlu bertindak sebagai pemudah cara perniagaan dengan menawarkan pembayaran kredit mikro.
"Program subsidi upah selama tiga bulan bagi sektor terkesan juga antara insentif yang diumumkan Jumaat lalu," katanya ketika ditemu bual di TV3 di sini, malam ini.
Beliau mengulas mengenai Belanjawan 2021 yang dibentangkannya di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu.
Katanya, insentif lain yang turut disediakan adalah subsidi kepada majikan dan pekerja selama enam bulan bagi mengurangkan pengangguran negara.
"Untuk makluman, tahap pengangguran negara ketika ini adalah 4.7 peratus pada Ogos lalu manakala 5.3 peratus pada Mei lalu.
"Jadi pengumuman Prihatin sebelum ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan tahap pengangguran di Malaysia," katanya.
#Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz #Menteri Kewangan #GLC #swasta #COVID-19 #pengangguran
;