Kerjasama dengan Belanda langkah terbaik atasi masalah banjir di Malaysia - Pakar

Bernama
November 4, 2023 12:33 MYT
Perdana Menteri pada Rabu berkata Malaysia akan mendapatkan kepakaran dari Belanda bagi menambah baik sistem tebatan banjir dalam usaha mengatasi masalah banjir dalam negara yang berlaku saban tahun. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan untuk mendapatkan kepakaran dari Belanda bagi menambah baik sistem tebatan banjir menjadi langkah terbaik dalam usaha mengurangkan kos perbelanjaan negara yang mencecah bilion ringgit setiap tahun bagi melaksanakan pengurusan bencana banjir.
Pengarah Jabatan Kejuruteraan Air dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor Prof Madya Dr Mohamad Hidayat Jamal yang menyokong komitmen kerajaan itu berkata usaha berkenaan boleh mengurangkan kerugian ditanggung penduduk terjejas akibat bencana alam itu yang berlaku saban tahun.
"Isu banjir adalah isu kritikal yang memerlukan penyelesaian segera. Belanda berpengalaman luas dalam bidang pengurusan risiko banjir memandangkan lebih 26 peratus kawasan di negara mereka berada di bawah aras laut dengan dianggarkan sebanyak 60 peratus kawasan berisiko banjir.
"Purata hujan tahunan di Belanda dalam lingkungan 800 milimiter (mm) dan ini berbeza dengan di Malaysia yang menerima hujan dengan anggaran purata 3,000 mm setahun. Sifat hujan dan punca banjir di Malaysia mungkin sedikit berbeza dengan hujan dan banjir di negara lain," katanya ketika dihubungi Bernama.
Mohamad Hidayat berkata disebabkan bencana banjir, Belanda menjadi lebih kreatif dalam melaksanakan langkah pengurusan risiko banjir sekali gus berjaya mengurangkan kos perbelanjaan.
Beliau berkata antara pendekatan digunakan di negara Kincir Angin itu untuk menangani banjir ialah membina struktur pengadang pusuan ribut, daik dan ban manakala bagi bukan struktur adalah menerusi perancangan guna tanah yang efektif, memperkenalkan konsep "room-for-river" serta meningkatkan ramalan banjir berdasarkan teknologi kecerdasan buatan (AI).
"Di samping itu, Belanda juga mempelopori pengurusan risiko banjir bagi tempoh jangka panjang berdasarkan konsep "Nature-based Solutions (NBS)" atau penyelesaian berdasarkan semula jadi yang menekankan penggunakan kaedah hijau dalam pengurusan risiko banjir.
"Perkongsian pengalaman dan kepakaran dengan Belanda nanti juga akan dapat membantu Jabatan Pengairan dan Saliran serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam merangka pelan menangani isu dan pengurusan risiko banjir negara," katanya.
Mohamad Hidayat berkata Belanda juga mengkhususkan Delft, bandar di selatan negara itu sebagai kawasan yang mengungguli bidang kejuruteraan air.
"Delft University of Technology (TUDelft) merupakan universiti yang terkenal dalam bidang kejuruteraan dan institusi khas di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) iaitu IHE Delft Institute of Water Education yang memberi fokus kepada isu dan penyelesaian berkaitan air dari darat hingga ke laut," katanya.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM) Prof Dr Ahmad Ismail berkata langkah kerajaan untuk memperkasakan pengurusan banjir di negara ini memerlukan persediaan yang mencukupi bagi menjayakannya.
"Kita mesti bersedia dari segi pengetahuan, kemahiran, teknologi dan kemudahan yang sesuai dan Belanda adalah sebuah negara yang kita boleh dijadikan contoh dalam pengurusan banjir di dunia selain daripada China, Amerika syarikat, Afrika dan Australia," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu lepas berkata Malaysia akan mendapatkan kepakaran dari Belanda bagi menambah baik sistem tebatan banjir dalam usaha mengatasi masalah banjir dalam negara yang berlaku saban tahun.
Anwar berkata bantuan kepakaran dari Belanda itu diyakini dapat mengurangkan kos perbelanjaan negara yang mencecah bilion ringgit setiap tahun bagi melaksanakan pengurusan bencana banjir.
-- BERNAMA
#banjir #kerugian #Belanda #pengurusan bencana
;