Kerjasama awam-swasta untuk percepat digitalisasi - Muhyiddin

Astro Awani
November 7, 2020 23:38 MYT
Muhyiddin berkata tahap kesalinghubungan di seluruh negara sudah mencecah 80 peratus hingga 90 peratus. Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan bekerjasama dengan swasta bagi mempercepatkan proses pendigitalan, memperbanyakkan majlis digital Revolusi Industri (IR 4.0) serta membuat pelaburan besar untuk memacu usaha digitalisasi di negara ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerjasama awam-swasta adalah untuk meneliti kaedah pelaksanaan bagi mempercepatkan proses pendigitalan serta kesalinghubungan, terutama dalam tempoh sukar ini.
"Mempercepatkan proses pendigitalan dan menambah baik kesalinghubungan akan memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di mana pada zaman sukar ini, mereka beralih kepada perniagaan dalam talian dan e-dagang untuk mencapai lebih ramai pelanggan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI Khas Bersama Perdana Menteri, malam ini.
Muhyiddin berkata tahap kesalinghubungan di seluruh negara sudah mencecah 80 peratus hingga 90 peratus, dan pelaburan yang besar menerusi Belanjawan 2021 bertujuan menambah baik infrastruktur serta mengisi kelompongan dalam usaha meningkatkan proses pendigitalan.
"Kesalinghubungan mesti ada bagi tujuan perdagangan, komunikasi serta ia dibuktikan oleh negara-negara maju," katanya.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa membentangkan Belanjawan 2021 semalam berkata pembangunan infrastruktur dan penaiktarafan rangkaian asas telekomunikasi adalah perlu bagi menampung keperluan gaya hidup digital.
Beliau berkata justeru, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memperuntukkan RM7.4 bilion untuk memperluas perkhidmatan jalur lebar pada 2021 dan 2022.
Kerajaan juga akan memperuntukkan RM500 juta untuk melaksanakan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) bertujuan memastikan kesalinghubungan 430 sekolah di seluruh Malaysia.
#Belanjawan 2021 #Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #digitalisasi #PKS #pendigitalan #E-dagang
;