Kerjasama ASEAN-APEC mesti adil, bukan negara besar paksa negara kecil - PM Anwar

Irfan Faruqi
November 26, 2024 17:25 MYT
Perdana Menteri berkata kerjasama multilateral tidak boleh menggunakan formulasi elit atau pendekatan kuasa-kuasa besar memaksakan aspirasi tertentu kepada negara-negara kecil. - Foto PMO
SEOUL: Kerjasama antara negara melalui platform ASEAN, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) atau lain-lain mesti bersifat adil untuk menangani isu-isu kepentingan bersama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerjasama multilateral ini tidak boleh menggunakan formulasi elit atau pendekatan kuasa-kuasa besar memaksakan aspirasi tertentu kepada negara-negara kecil.
“Dalam konteks Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Malaysia-Korea atau China-Jepun mesti berasaskan kepada kefahaman tersebut. Saya percaya kita ada suara-suara waras yang mencukupi untuk faham bahawa apabila kita bicara tentang kerjasama, ia bukan berasaskan kepada formulasi elit.
“Maksudnya, kita hanya bicara tentang kepentingan perniagaan dan keuntungan semata-mata. Apabila kita bicara tentang usahasama, maka usahasama itu mesti dengan tumpuan untuk dijayakan.
“Maka kita perlu tangani dengan isu kemiskinan dan kesenjangan melibatkan kemiskinan bandar, pinggir bandar, luar bandar dan kumpulan minoriti, bahkan juga kumpulan majoriti yang terpinggir. Maka, barulah usahasama tersebut memberi erti kepada keadilan yang sejati,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam syarahan khas di Universiti Kebangsaan Seoul di sini hari ini.
Anwar turut menambah bahawa nilai asasi dalam sebarang bentuk kerjasama mestilah berpaksikan kepada nilai ihsan dan keinsanan.
“Apabila kita rujuk kepada cita-cita memupuk kerjasama strategik dalam kalangan ASEAN, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan serantau, pada saya perkara yang fundamental ialah sifat keinsanan.
“Bagaimana mungkin kita bicara tentang urus tadbir atau politik, dan kesatuan ASEAN jika kita hilang esensi kemanusiaan dan nilai ihsan,” jelasnya.
Lanjutan itu, beliau meletakkan harapan dan kepercayaan besar kepada generasi muda untuk mewujudkan dunia baharu yang saling memahami dan toleransi dalam mendepani cabaran dunia.
“Anda lihat, dunia dalam keadan porak-peranda. Sebab itu saya ada keyakinan yang tinggi kepada mahasiswa dan anak muda untuk memahami isu melangkaui pemahaman semasa.
“Kita mahu jadi jurutera, saintis politik, pakar teknologi dan pakar kecerdasan buatan (AI), tetapi kita tidak boleh membenarkan diri kita hanya cemerlang dalam disiplin-disiplin ilmu ini, sedangkan kita hilang sifat kemanusiaan,” ujarnya lagi.
Anwar mengakhiri lawatan kerja di Korea Selatan yang bermula sejak Ahad lalu, dengan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Delegasi Malaysia juga disertai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan para pegawai kanan kerajaan Malaysia yang lain.
#Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #syarahan khas #Universiti Kebangsaan Seoul #ASEAN #terkini
;