Kerja ukur tanah: Orang Asli Kampung Petoh minta Jakoa beri penjelasan

Astro Awani
Julai 25, 2023 13:40 MYT
Beberapa wakil penduduk Orang Asli Kg Petoh bertemu wakil Jakoa Daerah Rompin pada Isnin, namun tiada sebarang kata putus atau penjelasan terperinci diberikan. - Foto Romzi
KUALA LUMPUR: Komuniti Orang Asli Kampung Petoh dekat Rompin meminta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memberi penerangan berhubung kerja-kerja ukur tanah yang dijalankan di kampung berkenaan.
Mereka pada masa sama meminta jaminan supaya tiada kerja-kerja pengukuran dilakukan sehingga satu perjumpaan bersama seluruh penduduk dilaksanakan.
Wakil penduduk, Eliana, 23, berkata pertemuan beberapa penduduk dengan wakil Jakoa pada Isnin tidak membuahkan sebarang hasil positif.
"Pihak Jakoa daerah (Rompin) turut gagal mengemukakan dokumen kebenaran juruukur untuk melakukan pengukuran di kawasan Kampung Petoh bagi tujuan perizaban RPS Kedaik.
"Di sini, kami Orang Asli Kampung Petoh sangat kecewa dengan hasil dari perjumpaan bersama tersebut yang tidak memberi apa-apa kepastian dan kata putus.
"Sekiranya ini adalah betul-betul pengukuran dari kerajaan, kami mohon agar kemukakan dokumen yang sah dan pemberitahuan sewajarnya.
"Kami harap semua pihak yang terlibat bekerjasama untuk duduk sama berbincang dan cuba dengar apa yang Orang Asli mahukan dalam hidup mereka dan bukan menentukan dan membuat keputusan atas nama Orang Asli," memetik satu kenyataan yang dikongsikan kepada Astro AWANI.
Malah, mereka berharap kerajaan terutama Jakoa supaya mematuhi prinsip deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP) iaitu Izin Maklum Awal Bebas dan Telus (IMABT) dalam perkara ini.
Media difahamkan, kerja-kerja pengukuran tersebut adalah bertujuan untuk pewartaan Rizab RPS Kedaik lantaran ia merupakan kerja yang lama tertangguh termasuk melaksanakan ukuran halus serta menanam batu.
#Orang Asli #JAKOA #Kampung Petoh #ukur tanah
;