Kerja penyenggaraan jalan berjadual di Jambatan Pulau Pinang mulai Isnin ini

Bernama
Ogos 14, 2021 00:22 MYT
PLUS dan LLM akan melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan jalan berjadual dari Isnin ini hingga 30 Dis depan. - Bernama
KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan jalan berjadual dari Isnin ini hingga 30 Dis depan bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna di Jambatan Pulau Pinang, terutamanya warga Pulau Mutiara itu.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi dalam satu kenyataan berkata kerja penyenggaraan jalan itu akan dilaksanakan secara berperingkat antara KM0.2 hingga KM8.3 dari Perai ke pulau dan dijadualkan berjalan hanya pada waktu malam dari pukul 10 malam hingga 6 pagi untuk mengurangkan gangguan lalu lintas.
Beliau berkata bagi memudah cara kerja penyenggaraan, penutupan laluan akan diaktifkan secara berperingkat untuk mengekalkan dua laluan yang boleh dilalui sepanjang masa untuk keselesaan awam.
"PLUS akan memastikan maklumat lalu lintas, termasuk penutupan lorong di atas jambatan disebarkan kepada orang awam secara berterusan menerusi papan tanda elektronik ditempatkan di lokasi strategik menuju ke Jambatan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, semasa kerja penyenggaraan di lorong tengah, lorong kanan perlu ditutup bagi tujuan keselamatan. Justeru, hanya lorong kiri boleh dilalui. Jika ada keperluan , lorong kanan akan dibuka kepada pengguna lalu lintas," katanya.
Oleh itu, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan merancang perjalanan mereka atau menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh itu," katanya.
-- BERNAMA
#Jambatan Pulau Pinang #PLUS #Lembaga Lebuhraya Malaysia #penyelenggaraan #penyenggaraan
;