Kerja penyelenggaraan jalan sepanjang lebuh raya BESRAYA hingga 31 Okt

Bernama
Ogos 9, 2024 12:45 MYT
Besraya (M) Sdn Bhd melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan jalan secara berjadual bagi kerja turapan dan penanda jalan di sepanjang Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) bermula 1 Ogos hingga 31 Oktober ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Besraya (M) Sdn Bhd melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan jalan secara berjadual bagi kerja turapan dan penanda jalan di sepanjang Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) bermula 1 Ogos hingga 31 Oktober ini.
Syarikat konsesi lebuh raya itu dalam kenyataan memaklumkan kerja-kerja penyelenggaraan itu dilaksanakan secara berperingkat di antara KM0.1 hingga KM21.9, KMB0.0 hingga KMB0.8, KMS0.0 hingga KMS2.2 dan KMP0.0 hingga KMP3.3, yang melibatkan kedua-dua arah lebuh raya.
Ketua Pegawai Eksekutif Divisyen Tol IJM Wan Salwani Wan Yusoff berkata semua urusan penyelenggaraan dilaksanakan bermula 10 malam hingga 6 pagi, sepanjang tempoh berkenaan.
"Bagaimanapun, kerja-kerja menaik taraf turapan jalan menggunakan konkrit akan melibatkan dua lokasi pusingan U iaitu di Persimpangan Bertingkat Balakong Tanjakan A (Ramp A) dan di Persimpangan Salak Jaya di KM15.2 menuju ke pusat bandar raya pada 1 September hingga 31 Disember ini.
"Pengguna dari arah Balakong yang ingin membuat pusingan U dinasihatkan menggunakan Persimpangan Lampu Isyarat Jalan Dulang untuk ke Balakong," katanya dalam kenyataan itu.
Semasa kerja penyelenggaraan dijalankan yang bertujuan meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan pengguna di lebuh raya berkenaan, penutupan lorong akan dilaksanakan secara berperingkat.
"BESRAYA akan memastikan maklumat trafik serta penutupan lorong di lokasi terlibat akan dihebahkan kepada orang ramai secara berterusan melalui papan tanda elektronik di sepanjang lebuh raya dan pengguna dinasihatkan mematuhi arahan berkenaan," menurut kenyataan itu.
BESRAYA memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi serta mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pengguna lebuh raya, dan sebarang pertanyaan mereka boleh hubungi talian Besline 1-800-88-0999.
-- BERNAMA
#kerja penyelenggaraan #Lebuhraya Sungai Besi #Besraya #kerja turapan dan penanda jalan