Kerja pengukuhan tebing runtuh oleh MPSJ masih belum siap
Tunku Nashrul Tunku Abaidah
April 1, 2013 21:38 MYT
April 1, 2013 21:38 MYT
Susulan kejadian tebing runtuh di Pangsapuri Seri Beringin, Puchong, kerja-kerja pengukuhan tebing yang dijalankan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) masih belum dapat disiapkan.
Ini kerana MPSJ masih menunggu hasil siasatan tapak oleh Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM).
Menurut kenyataan MPSJ, keputusan siasatan tersebut dijangka dapat diketahui selewat-lewatnya pada 6 April ini.
Penduduk juga masih tidak dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing bagi tujuan keselamatan.
Setakat ini, sebanyak 40 keluarga yang melibatkan 178 orang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna MPSJ Puchong Indah.
MPSJ turut menasihatkan agar penduduk tidak perlu risau dengan keselamatan unit rumah masing-masing memandangkan ia mendapat kawalan keselamatan yang rapi.
Dalam kejadian pada 26 Mac lepas tebing setinggi lapan meter dengan panjang 50 meter itu dipercayai runtuh akibat hujan lebat.
Ia merupakan kejadian kali kedua selepas runtuhan pertama berlaku pada 19 Februari lalu.