Kerja pengoptimuman menara komunikasi di Padang Besar, Perlis dimulakan

Bernama
Oktober 25, 2021 04:23 MYT
MCMC telah turun ke kawasan yang diadu dan mendapati punca masalah adalah dari segi teknikal iaitu kesinambungan rangkaian mudah alih berprinsipkan 'line of sight'.
KUALA LUMPUR: Kerja-kerja pengoptimuman dua menara komunikasi yang dijangka dapat memberi liputan Internet lebih baik kepada penduduk Kampung Seri Kesinai, Padang Besar di Perlis telah dimulakan semalam (25 Okt) dan akan siap pada 8 Nov.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan kerja pengoptimuman itu dijalankan berhampiran Kampung Baharu dan Sungai Chuchuh, Padang Besar.
Ia melibatkan tindakan menutup rangkaian 3G di menara berdekatan di Kampung Baharu untuk menjadikannya rangkaian 4G sepenuhnya, agar isyarat yang dihantar oleh peralatan tersebut mempunyai kapasiti untuk menampung data Internet yang lebih tinggi.
Kerja pengoptimuman juga melibatkan penggunaan menara baharu yang telah siap bagi meningkatkan liputan ke Sungai Chuchuh Unicity yang berada di sektor liputan yang berasingan.
"Menara baru ini juga akan dinilai semula untuk meningkatkan sektor liputan untuk kawasan Kampung Seri Kesinai," menurut kenyataan itu yang dikeluar bagi memperjelas masalah capaian liputan di kampung terbabit.
Media baru-baru ini melaporkan kekecewaan ibu bapa berhubung masalah capaian Internet khususnya kawasan luar bandar Perlis sehingga menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) anak mereka sering terganggu.
MCMC memaklumkan pihaknya telah turun ke kawasan yang diadu itu dan mendapati punca masalah adalah dari segi teknikal iaitu kesinambungan rangkaian mudah alih berprinsipkan 'line of sight'.
"Sekiranya prinsip ini tidak dipenuhi, maka liputan yang diberi akan terhalang ataupun kurang berkualiti. Kepincangan 'line of sight' boleh terjadi apabila terdapat halangan seperti bangunan, pokok ataupun bentuk muka bumi yang beralun.
"Sekiranya ini berlaku, maka pembetulan teknikal adalah untuk mengoptimumkan peralatan sedia ada seperti penggunaan spektrum yang sesuai atau membina menara baru," menurut MCMC.
-- BERNAMA
#MCMC #Perlis #capaian Internet luar bandar #menara komunikasi
;