Kerja pembersihan sisa gas LPG bocor di lebuh raya PLUS selesai
Bernama
November 5, 2015 11:55 MYT
November 5, 2015 11:55 MYT
Kerja-kerja pembersihan sisa gas LPG yang bocor daripada lori tangki di Kilometer 311 arah utara Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) semalam selesai sepenuhnya pada pukul 2.45 pagi ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak Yahya Madis berkata laluan di kedua-dua arah lebuh raya berkenaan dibuka kepada lalu lintas pada pukul 3.50 pagi.
Laporan daripada unit Hazmat mendapati kebocoran itu dipulihkan tanpa sebarang masalah dan kenderaan terbabit dihantar ke Hentian Rehat dan Rawat RTC Gopeng buat sementara waktu, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata pihaknya akan melakukan pemantauan di kawasan berkenaan.
Dalam kejadian semalam, JBPM menerima panggilan pada pukul 8.55 pagi mengenai kebocoran gas LPG pada lori tangki di Kilometer 311 arah utara.
Susulan itu laluan di Lebuhraya PLUS di kedua-dua arah ditutup kepada lalu lintas.