Kerja pembersihan kebakaran Flat Sri Sabah selesai
Faida Rahim
Februari 12, 2024 09:15 MYT
Februari 12, 2024 09:15 MYT
KUALA LUMPUR: Pihak Badan Pengurusan Bersama (JMP) memaklumkan kerja-kerja pembersihan sisa kebakaran di sekitar blok 70 Flat Sri Sabah, Cheras selesai pada jam 8 pagi tadi.
Hasil tinjauan Astro AWANI ke lokasi kebakaran juga mendapati, kesemua mangsa lima buah rumah di tingkat 17 flat berkenaan kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Sri Cheras untuk sementara.
Dalam masa sama, aktiviti penduduk di blok 70 flat Sri Sabah berjalan seperti biasa dan pergerakan keluar masuk penduduk setempat juga berjalan lancar.
Difahamkan, kerja-kerja memadam api kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mengambil masa lima jam yang berakhir pada pukul 2 pagi tadi.
Astro AWANI turut dimaklumkan pihak JBPM beserta unit forensik dijangka tiba ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan terperinci.
Menurut JBPM, terdapat seorang mangsa wanita berusia 62 tahun mengalami sesak nafas namun mangsa kini berada dalam keadaan stabil.
Laporan JBPM turut memaklumkan, kelima-lima rumah itu terbakar sebanyak 85 hingga 97 peratus dengan keluasan rumah 20 kali 40 kaki persegi.
Kegagalan sistem pemadaman di lokasi menyebabkan pihak JBPM sukar memadamkan kebakaran dengan lebih awal dalam kejadian malam tadi.