Kerja pembersihan di bangunan Umno masih diteruskan
Astro Awani
Jun 14, 2013 23:01 MYT
Jun 14, 2013 23:01 MYT
Kerja –kerja pembersihan jalan akibat runtuhan rod penebat kilat yang diletakkan di atas menara Umno, Pulau Pinang di Jalan Macalister masih lagi dijalankan sehingga lewat petang ini.
Pihak kontraktor pembersihan masih lagi berusaha menurunkan serpihan runtuhan rod terbabit yang masih tergantung di menara berkenaan.
Tinjauan juga mendapati jalan berkenaan di tutup buat sementara waktu sehingga kerja pembersihan dan membaiki jalan disebabkan paip pecah selesai.
Insiden itu menyebabkan penduduk sekitar jalan Datuk Keramata, Kampung Jawa, Komtar dan Jalan Anson mengalami gangguan bekalan air.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan tidak menghampiri jalan berkenaan kerana masih terdapat serpihan yang tergantung di menara itu.
Sementara itu, pemilik bangunan menara Umno, JKP Sdn Bhd, berkata, bangunan itu akan di tutup sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan sebelum ia dibenarkan beroperasi seperti sediakala.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adzmi Ariffin berkata bangunan itu akan dibuka semula Isnin ini selepas semua kerja-kerja pembersihan selesai.
Bangunan 21 tingkat setinggi 93.6 meter itu turut menempatkan pejabat perhubungan Umno negeri dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang.
Dalam dalam kejadian 6.45 petang semalam seorang maut manakala lapan yang lain cedera selepas rod penebat kilat yang dianggarkan seberat 20 tan yang ditempatkan dimenara itu tercabut dan terjatuh.
Kejadian turut menyebabkan tujuh kenderaan termasuk sebuah lori muatan tong gas rosak
manakala dalam kejadian berainagn di air itam , seorang kakitangan perbadanan air Pulau Pinang Wong Tz Chow turut maut dihempap pokok tumbang ketika sedang berjoging di kawasan empangan Air Itam petang semalam.
Jahir Hussain Sulaiman kelindan lori maut setelah mengalami kecederaan parah dibahagian kepala manakala lapan yang lain cedera dan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
Sementara itu jenazah Jahir Hussain Sulaiman selamat dikebumikan ditanah perkuburan islam jalan perak sebaik urusan kedutaan selesai petang tadi.
Menurut laporan satu media, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng akan membaiki kesemua kerosakkan secara percuma.