Kerja pembaikan paip pecah di MRT TTDI selesai, bekalan air pulih berperingkat
Bernama
Disember 9, 2016 14:54 MYT
Disember 9, 2016 14:54 MYT
Kerja-kerja pembaikan paip pecah yang dijalankan berhampiran MRT Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Jalan Damansara telah selesai dan bekalan air ke kawasan yang terjejas sedang dipulihkan secara berperingkat.
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam kenyataan berkata bekalan air ke kawasan yang terjejas akan mengambil masa untuk pulih sepenuhnya terutama bagi premis yang terletak di kawasan tinggi dan hujung sistem agihan.
"Bantuan bekalan air akan dihantar dengan lori tangki dan disokong oleh lori tangki jumbo di Masjid At Taqwa TTDI sebagai stesen isian," menurut kenyataan itu.
Pengguna boleh memohon bantuan bekalan air dengan menghantar SMS ke 15300 dengan menaip : TANKER nama dan alamat.
Maklumat terkini mengenai pemulihan bekalan air boleh dirujuk di www.syabas.com.my, aplikasi telefon pintar 'mySyabas', Facebook 'Puspel Syabas' atau 'Air Selangor'. - BERNAMA