Kerja pemasangan sistem projek ECRL dijangka bermula Mei depan

Bernama
April 23, 2024 16:30 MYT
Kerja-kerja pemasangan landasan dari Gebeng, Pahang ke Dungun, Terengganu sepanjang 92 kilometer telah siap sepenuhnya. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Kerja-kerja pemasangan di Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melibatkan pembinaan sistem elektrifikasi, semboyan dan telekomunikasi bagi pengoperasian kereta api penumpang dan kargo dijangka bermula Mei depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata ini adalah kerana kerja-kerja pemasangan landasan dari Gebeng, Pahang ke Dungun, Terengganu sepanjang 92 kilometer telah siap sepenuhnya.
Beliau berkata kerja-kerja pemasangan sistem ini akan bermula Mei depan bagi membolehkan pemasangan landasan dari Dungun ke Kota Bharu, Kelantan dilaksanakan penghujung Disember tahun ini.
"Selain itu, projek ECRL telah mencatat kemajuan sebanyak 64.01 peratus setakat Mac 2024 bagi keseluruhan jajaran yang merangkumi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama ECRL, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook yakin projek ECRL akan dapat disiapkan mengikut jadual pada Disember 2026 dan mula beroperasi Januari 2027.
Projek ECRL sepanjang 665 kilometer yang melibatkan 20 stesen telah memasuki fasa baharu pembinaan sejak 2023, merangkumi kerja-kerja infrastruktur seperti pemasangan rasuk jejambat, pemasangan landasan, pembinaan stesen dan pembinaan depot kereta api.
-- BERNAMA
#ECRL #Pantai Timur #status projek #darwis abdul razak
;