Kerja naik taraf Stadium Sultan Muhammad IV siap Ogos

Bernama
Mei 31, 2022 09:30 MYT
Wan Roslan (kiri) bersama Setiausaha Perbadanan Stadium Kelantan Mohd Roshidi Ismail (kanan) meninjau kerja-kerja membaik pulih tempat duduk para penonton di Stadium Sultan Muhammad IV. - Foto BERNAMA
KOTA BHARU: Kerja naik taraf Stadium Sultan Muhammad IV di sini dijangka siap sepenuhnya Ogos depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Dan NGO Kelantan Wan Roslan Wan Hamat.
Beliau berkata kerja naik taraf stadium tersebut yang melibatkan lampu limpah, baik pulih kemudahan sedia ada dan kerosakan struktur stadium dengan peruntukan RM5 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan telah bermula Februari lepas.
"Ketika ini kerja naik taraf sudah 80 peratus siap, baki 20 peratus dijangka selesai Ogos depan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek bernilai RM100,000 daripada Kerajaan Negeri Kelantan kepada Setiausaha Perbadanan Stadium Kelantan Mohd Roshdi Ismail bagi naik taraf tempat penduduk penonton di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, Isnin.
Wan Roslan berkata berikutan kerja naik taraf lampu limpah, kesemua perlawanan Liga Malaysia khususnya Liga Premier melibatkan Kelantan FC dan Kelantan United FC (KUFC) akan diadakan di luar Kelantan.
"Sekarang ini hanya ada saingan Liga Belia dan Piala Presiden yang berlangsung pada sebelah petang," katanya.
-- BERNAMA
#Stadium Sultan Muhammad IV #Kementerian Belia dan Sukan #Wan Roslan Wan Hamat #baik pulih kemudahan
;