Kerja mendalamkan Sungai Kupang giat dilakukan

Adie Sufian Zulkefli
Julai 30, 2022 14:34 MYT
Kerja-kerja mendalamkan Sungai Kupang giat dilakukan bagi mengelak limpahan air sungai memasuki rumah penduduk di Kampung Iboi, Baling. - Gambar Astro AWANI
BALING: Kerja-kerja mendalamkan Sungai Kupang giat dilakukan bagi mengelak limpahan air sungai memasuki rumah penduduk di Kampung Iboi, di sini.
Pegawai Khas Ahli Parlimen Baling, Zulkifli Mohd Amin, berkata Sungai Kupang menjadi cetek kerana penuh dengan pasir didasar sungai.
Beliau berkata, sebelum ini kerja-kerja mendalam sungai dilakukan menggunakan dua jentera pengorek yang disediakan Pejabat Khidmat Parlimen Baling selepas kejadian kepala air dan banjir lumpur pada 4 Julai lalu.
Katanya, kerja-kerja pengorekan turut dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi membuang pasir bermula dari sungai Lata Chelak sehinggai Sungai Iboi.
“Kerja-kerja yang dilakukan pada masa ini untuk membawa pasir-pasir dari dalam sungai ini ke darat, apabila hujan lebat pasir terlampau banyak turun dari bukit… itu yang menyebabkan terjadinya banjir kilat,” kata Zulkifli….
Jelasnya lagi, bagi mengelak limpahan air memasuki kediaman penduduk longkang turut dibuat mengalirkan terus air hujan ke sungai.
“Untuk mengelak banjir berlaku, parit-parit ini digali untuk mengalirkan air bertakung ke sungai. Ini adalah satu kaedah untuk mengurangkan kesan banjir yang besar air yang melimpah ke rumah mangsa,” jelas beliau lagi.
Bagi seorang mangsa, Ramlah Abdullah, 58, dari Kampung Padang Empang menyatakan rasa sedih kerana dua kejadian ini menyebabkan kesemua barangan perkakasan rumahnya rosak.
Katanya, bukan hanya air yang memasuki rumah malah turut membawa sampah ranting kayu dan sarap.
Sehubungan itu, Ramlah berharap kerajaan negeri dapat mencari tapak penempatan baharu yang lebih selamat kerana dia sudah sedia untuk berpindah.
“Kalau boleh nak pindah dari sini, tengoklah macam ini… letih. Orang bagi barang membazir orang bagi buang juga, peti ais pun tenggelam juga, mesin basuh mereka hendak baiki, rumah pun rosak juga kalau bolehlah mahu penempatan tinggi, tak mahu berulang setiap kali hujan buat kerja yang sama,” luahnya.
Sementara itu, tinjauan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Terbuka Kampung Padang Empang mendapati, kesemua 19 keluarga telah dibenarkan pulang sementara untuk membersihkan rumah masing-masing.
Bagaimanapun, sekiranya hujan lebat berlaku lagi, mereka akan segera diarahkan berpindah kembali ke PPS sebagai langkah keselamatan.
#banjir baling #Sungai Kupang #Kampung Iboi #Pejabat Khidmat Parlimen Baling
;