Kerja lebih masa untuk selesaikan kes tertangguh - Kulasegaran
Hafiz Marzukhi
Mei 24, 2018 13:32 MYT
Mei 24, 2018 13:32 MYT
Bilangan kes-kes tertangguh di Mahkamah Perusahaan perlu diselesaikan secepat mungkin.
Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran berkata, kelewatan penyelesaian kes ini tidak boleh diterima kerana ia melibatkan kebajikan pekerja-pekerja.
"Saya sudah memberi arahan supaya bilangan kes-kes yang tertangguh ini diselesaikan dalam tempoh tiga bulan. Namun, saya berharap agar kes-kes ini dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan.
"Saya telah meminta pegawai yang bertanggungjawab untuk bekerja lebih masa, sama ada pada hari minggu, hari cuti umum ataupun sehingga malam agar kes-kes ini dapat diselesaikan," kata Kulasegaran dalam sidang media selepas lawatan kerja ke Mahkamah Perusahaan di Wisma Perkeso di ibu negara hari ini.
Tambah beliau, lawatan tersebut diadakan bagi mengenal pasti langkah yang perlu diambil bagi mempercepatkan proses penyelesaian kes-kes yang tertangguh di Mahkamah Perusahaan.
Sehingga kini, terdapat 3,687 kes di Mahkamah Perusahaan pada tahun ini tetapi terdapat 2,775 kes yang masih tertangguh sehingga kini.