Kerja-kerja pembinaan kemudahan Sukma di Kelantan dimulakan tahun depan
Bernama
September 28, 2020 11:38 MYT
September 28, 2020 11:38 MYT
KOTA BHARU: Kerja-kerja pembinaan empat infrastruktur utama bagi persediaan menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Kelantan dijangka dimulakan tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Wan Roslan Wan Hamat berkata empat kemudahan itu ialah sebuah stadium utama, stadium tertutup, pusat renang dan velodrome yang menjadi keperluan utama sebagai tuan rumah selain beberapa infrastruktur asas lain.
"Kami telah melawat negeri-negeri khususnya Johor yang kini sedang menguruskan Sukma ke-20 dan kami baru selesai buat pengurusan nilai melibatkan lokasi-lokasi dan infrastruktur yang kita akan bina di Kelantan.
"Bila siap nanti kita akan majukan kepada jemaah menteri untuk mendapatkan jawapan balas melibatkan berapa banyak kerajaan mampu memberi sumbangan kepada Kelantan dalam persiapan membina infrastruktur berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutup Seminar Pembangunan Kejurulatihan Bola Sepak Remaja 2020 di sini, hari ini.
Wan Roslan berkata infrastruktur itu dijangka didirikan di atas tanah seluas 60 hektar di Bukit Merbau di Pasir Puteh selain beberapa lokasi lain seperti Kota Bharu dan Jeli.
"Pembinaan itu juga bertaraf antarabangsa termasuklah litar-litar sukan bermotor dan keperluan asas lain seperti asrama dan juga Pejabat Perbadanan Stadium.
"Kerajaan negeri telah membelanjakan RM10 juta untuk membayar tanah rakyat di kawasan Bukit Merbau sebagai langkah awal untuk pembinaan kemudahan sukan itu," katanya.
Katanya, satu sekretariat juga akan ditubuhkan untuk menjadi penggerak dan pemikir bagi pelaksanaan semua infrastruktur yang dirancang.
"Kami telah meminta Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan untuk menyediakan satu pelan pembangunan atlet supaya Kelantan juga turut menjuarai beberapa sukan pilihan dalam Sukma nanti, bukan sekadar menjadi tuan rumah," katanya.
-- BERNAMA
#Majlis Sukan Negeri
#MSN Kelantan
#tanah
#sukan
#Sukan Malaysia
#Sukma 2024
#Kelantan
#Wan Roslan Wan Hamat
#stadium
#Infrastruktur
#tuan rumah
#Bukit Merbau
#litar sukan bermotor
#asrama
#kerja pembinaan
#jemaah menteri
#pelan pembangunan atlet