Kerja empat hari: Ubah pemahaman dan penilaian terhadap konsep produktiviti
Madiha Abdullah
Mei 12, 2022 07:30 MYT
Mei 12, 2022 07:30 MYT
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan tempoh bekerja empat hari seminggu boleh dilaksanakan namun apa yang menjadi isu adalah mentaliti masyarakat negara ini tentang pekerjaan, baik golongan pekerja mahupun majikan.
Pengasas Gig X Global, Shareen Shariza Abdul Ghani berkata, masih agak jauh untuk Malaysia memulakannya kerana konsep produktiviti di negara ini masih berasaskan pada tempoh jam bekerja.
"Dari segi produktiviti, kita masih melihat pekerjaan berdasarkan berapa jam kita bekerja, kita rasa kalau kerja lebih lama, kita lebih produktif tetapi banyak kajian menunjukkan kalau kita bekerja untuk tempoh yang singkat tetapi menekankan kepada hasil, produktiviti akan meningkat.
"Saya ambil contoh Microsoft Jepun, mereka melaksanakan kerja empat hari seminggu pada 2020 dan didapati produktiviti mereka meningkat 40 peratus," katanya ketika muncul sebagai tetamu dalam program Cerita di Astro AWANI, pada Khamis.
Jelasnya, apa yang perlu dilihat dan diberi fokus sebelum melaksanakannya ialah mengenal pasti tempoh waktu produktiviti, bagi membolehkan ia dipergunakan dengan sepenuhnya.
"Kaji bila waktu kita paling produktif, selalunya pada waktu pagi sehingga sebelum makan tengah hari. Kalau kita tambahkan masa kerja mungkin satu atau dua jam dalam empat hari itu, ia sudah boleh ganti hari kelima dan hari kelima itu sudah boleh jadi waktu rehat.
"Empat hari sebenarnya cukup untuk dapat produktiviti dan hasil yang dimahukan," katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Shareen Shariza tidak melihat situasi itu akan memberi kesan kepada gaji atau elaun pekerja, namun merasakan adanya keperluan untuk mengkaji kembali jumlah cuti umum yang terlalu banyak di Malaysia.
Malah, cuti rehat selama tiga hari juga bukan sahaja baik untuk kesihatan mental pekerja, tetapi ia mampu memberi pulangan yang baik kepada ekonomi negara.
"Orang Malaysia suka bercuti, bawa keluarga dan rakan makan di luar.
"Jika mereka ada masa rehat yang lebih panjang, mereka ada masa untuk pergi melancong dan berehat, dan ini akan meningkatkan perbelanjaan mereka untuk sektor pelancongan dan ekonomi domestik," tambahnya.