Kerja dari rumah: Belajar guna komputer, elak kerja secara bersemuka

Muzaffar Syah Mallow
Oktober 22, 2020 10:24 MYT
Pihak majikan dan pekerja perlu belajar guna komputer serta tatacara untuk mengadakan sebarang jenis mesyuarat, bengkel, seminar dan lain-lain lagi secara dalam talian. Gambar fail BERNAMA
MEMANDANGKAN penularan virus Novel Koronavirus (COVID-19) masih berlaku dalam negara kita serta di serata dunia pada ketika ini, tidak wajar sekiranya segala jenis aktiviti di tempat kerja seperti mesyuarat, bengkel, seminar, dan segala bentuk aktiviti dibenarkan untuk dilaksanakan dilakukan secara bersemuka ataupun secara fizikal di tempat kerja. Zaman sudah pun berubah. Pada zaman moden kini, pelbagai jenis kemudahan serta aplikasi moden dalam talian sudah wujud bagi memudahkan urusan semua pihak. Dengan wujudnya komputer, telefon pintar serta internet, semua pihak boleh melakukan aktiviti harian dengan lebih mudah, cepat serta berkesan. Segala kemudahan serta aplikasi moden dalam talian yang wujud perlu digunakan dengan sepenuhnya oleh semua pihak dan ini termasuklah oleh para pekerja sendiri di tempat kerja mereka. Segala kemudahan serta aplikasi moden dalam talian ini tidak boleh dijadikan sebagai bahan perhiasan semata-mata ataupun alat yang hanya digunakan ketika kita sedang hadapi waktu darurat sahaja seperti ketika penularan wabak dan perintah kawalan pergerakan. Segala kemudahan dan aplikasi moden dalam talian ini perlu digunakan sepenuhnya pada setiap masa kerana ia memberi banyak manfaat dan kebaikan bukan sahaja pada diri individu pekerja itu sendiri malah kepada orang ramai yang berurusan dengan pihak pekerja itu.
Pengunaan kemudahan dan aplikasi dalam talian ini mula mendapat tempat dalam negara kita dan di serata dunia apabila berlakunya penularan virus COVID-19 yang mengancam kesihatan dan nyawa manusia semenjak awal tahun ini. Sehingga kini, virus COVID-19 ini telah menjangkiti berjuta-juta manusia serta telah menyebabkan kematian lebih sejuta manusia di serata dunia. Sehingga kini juga, tiada penawar atau vaksin yang boleh digunakan khusus bagi mengubati virus COVID-19 ini. Memandangkan virus COVID-19 amat berbahaya kepada kesihatan manusia serta mudah menjangkiti manusia, kerajaan di serata dunia termasuklah kerajaan Malaysia terpaksa mengambil langkah drastik bagi membendung penularannya. Antara langkah drastik yang telah diambil oleh kerajaan Malaysia adalah dengan menguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan ataupun PKP pada bulan Mac dan April yang lalu. Melalui perintah PKP ini, semua premis perniagaan dan tempat kerja dalam negara telah ditutup. Penutupan premis perniagaan dan tempat kerja telah memaksa orang ramai termasuklah para majikan dan pekerja untuk mengunakan segala jenis kemudahan dan aplikasi moden dalam talian bagi melakukan aktiviti kerja harian mereka.
Namun segala kemudahan dan aplikasi moden yang telah disediakan ini tidak digunakan sepenuhnya oleh para majikan dan pekerja di tempat kerja. Para majikan dan pekerja dilihat lebih selesa untuk mengadakan aktiviti kerja mereka seperti mesyuarat, bengkel, seminar dan lain-lain lagi dengan cara lama iaitu dengan bersemuka secara fizikal. Pengunaan cara lama ini membawa kepada banyak masalah sampingan seperti pembaziran masa, tenaga serta wang, dan lain-lain lagi. Dengan penularan COVID-19 pada ketika ini juga, cara lama yang digunakan pakai ini boleh mendedahkan majikan serta pekerja itu sendiri dengan bahaya virus jangkitan COVID-19. Perlu diingatkan, tanggungjawab bagi menjaga dan melindungi keselamatan dan kesihatan semua pihak di tempat kerja ini bukan sahaja telah ditentukan dari sudut tanggungjawab moral sahaja malah ianya juga telah termaktub di bawah peruntukkan undang-undang buruh dalam negara kita seperti yang telah termaktub di bawah Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 [Akta 514]. Tindakan undang-undang yang tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak majikan ataupun pihak pengurusan di tempat kerja yang didapati gagal melindungi keselamatan dan kesihatan pekerja mereka sendiri.
Oleh yang demikian, adalah penting supaya pihak kerajaan mengeluarkan satu bentuk perintah ataupun arahan jelas bagi mengarahkan segala jenis aktiviti kerja seperti mesyuarat, bengkel, seminar dan lain-lain aktiviti kerja ini dilakukan secara dalam talian sekurang-kurangnya sehingga penawar ataupun vaksin bagi mengubati virus COVID-19 ditemui kelak. Perintah ataupun arahan bukan sahaja hanya perlu dipakai di kawasan yang telah diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti di negeri Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah, malah perlu dilaksanakan di seluruh negara. Pihak majikan dan pekerja perlu belajar guna komputer serta tatacara untuk mengadakan sebarang jenis mesyuarat, bengkel, seminar dan lain-lain lagi secara dalam talian. Tidak menjadi satu beban yang besar untuk pihak majikan dan pekerja belajar mengunakan segala jenis kemudahan dan aplikasi moden ini bagi melaksanakan urusan kerja seharian mereka. Budak sekolah pun dengan mudahnya tahu bagaimana hendak mengunakan komputer dan telefon pintar pada masa kini. Apa gunakan sekiranya pihak majikan dan pekerja sibuk berbelanja wang yang besar beli peralatan canggih seperti komputer dan telefon pintar sebelum penularan virus COVID-19 ini berlaku dulu sekiranya ia tidak digunakan sepenuhnya untuk kemudahan dan manfaat kepada diri mereka sendiri?

* Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI

#komputer #kerja dari rumah #BDR #bekerja di rumah #work from home #dalam talian #Kolumnis AWANI #majikan #Pekerja #moden #telefon pintar #COVID-19 #PKPB
;