Kerja, belajar dari rumah: Aktiviti politik masih perlu bersemuka?
Harits Asyraf Hasnan
Januari 21, 2021 19:18 MYT
Januari 21, 2021 19:18 MYT
TATKALA ramai yang terpaksa bekerja dari rumah, belajar dari rumah, timbul persoalan berkenaan aktiviti politik.
Sama ada majlis penyaluran bantuan, mesyuarat, mahupun sidang media - masih terikat cara konvensional, perlu bersemuka.
Astro AWANI mendapatkan pandangan beberapa Ahli Parlimen.
Rata-rata mereka secara umumnya bersetuju supaya pendekatan kurang sesuai itu tidak lagi dilaksana tatkala COVID-19 masih menghantui rakyat Malaysia.
Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria menyambut baik cadangan supaya segala program politik termasuk sidang media diadakan secara maya.
Beliau berkeyakinan, mesej dan informasi masih boleh disampaikan kepada rakyat melalui media, walaupun tidak lagi secara bersemuka.
“Saya cukup terkesan khususnya kepada anak-anak yang berada di sekolah rendah dan menengah yang sepatutnya hadir ke sekolah pada sesi persekolahan, tapi tidak dapat secara fizikal di sekolah.
“Namun, mereka juga melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian dari rumah.
“Maksudnya, jika di sekolah pun mampu melakukan sedemikian rupa, maka sidang media juga boleh dilakukan melalui maya ini,” katanya.
[INFOGRAFIK] Senarai ahli politik positif COVID-19 sehingga 20 Januari 2021
Turut senada dalam perkara ini adalah Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.
“Para menteri sepatutnya semasa PKP ini hanya mengadakan mesyuarat di pejabat dan tidak melibatkan delegasi yang besar.
“Saya faham, jika ada isu besar seperti banjir, di mana lawatan perlu diadakan untuk membantu mangsa-mangsa banjir, ini tidak dapat dielakkan tetapi prosedur operasi standard (SOP) mesti dipatuhi.
“Jika ada sidang media yang perlu diadakan, ini boleh dilakukan secara dalam talian ataupun boleh keluarkan kenyataan kepada media,” katanya.
Bagi Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, Khalid Abdul Samad, sidang media yang dijalankan mengikut SOP seperti memastikan penjarakan fizikal selain mengehadkan jumlah petugas media, tidak menjadi masalah.
Namun, terdapat kekangan melibatkan program-program wakil rakyat seperti program turun padang, penyaluran bantuan persekolahan dan sebagainya.
"Dari segi sidang media sahaja, kalau ia dikawal dan dilaksana dengan baik, mungkin tidak menjadi masalah sangat.
“Tetapi masalahnya apabila program yang tidak boleh dikawal, apabila orang ramai, macam keramaian, seperti program kembali ke sekolah, sambutan Tahun Baharu Cina tak lama lagi ini, jangan buat majlis, tidak perlu buat majlis,” katanya.
Selain Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ), turut menyuarakan perkara ini adalah Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam.
Presidennya, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar menggesa semua ahli politik termasuk Ahli Parlimen supaya membina pusat digital di rumah masing-masing serta mengadakan sidang akhbar secara dalam talian bagi mengurangkan interaksi bersemuka.
#pemimpin politik
#positif COVID-19
#jangkitan COVID-19
#politik COVID
#ahli Parlimen
#politik
#Nizar Zakaria
#Khalid Samad
#Hannah Yeoh
#kesihatan
#SOP
#secara maya