Kerja baiki paip pecah di Seksyen 15 selesai
Sinar Harian
Januari 26, 2022 04:55 MYT
Januari 26, 2022 04:55 MYT
SHAH ALAM: Kerja kecemasan membaiki paip pecah di Seksyen 15, di sini yang berpunca daripada kerja-kerja pembangunan jalan berdekatan Lebuhraya Persekutuan oleh pihak ketiga selesai disiapkan.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat kepada premis pengguna dan dijangka pulih sepenuhnya jam 9 pagi pada Khamis.
Bagaimanapun, Air Selangor memberitahu, tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.
“Bantuan alternatif melalui lori-lori tangki masih lagi digerakkan ke kawasan yang terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
“Air Selangor ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki,” kata hantaran tersebut pada Rabu.
Dalam pada itu, Air Selangor juga ingin menasihati pengguna untuk menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.
Ujarnya, perkembangan berkaitan insiden tersebut akan dikemas kini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.
“Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.
“Air Selangor juga ingin menggalakkan para pengguna untuk mengajukan sebarang pertanyaan atau aduan menerusi saluran komunikasi tanpa suara di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” katanya.
Artikel asal di Sinar Harian