Kerja baiki paip bocor Sungai Perai ambil masa 24 - 48 jam - Kon Yeow

Astro Awani
Januari 23, 2024 23:39 MYT
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memaklumkan, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) juga sedang berusaha untuk menyediakan pilihan kedua iaitu mempercepatkan lencongan paip untuk memulihkan gangguan bekalan air. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerja-kerja membaiki kebocoran kebocoran besar pada bahagian saluran paip bawah permukaan air di Sungai Perai boleh dilaksanakan dalam tempoh 24 hingga 48 jam jika keadaan mengizinkan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memaklumkan, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) juga sedang berusaha untuk menyediakan pilihan kedua iaitu mempercepatkan lencongan paip untuk memulihkan gangguan bekalan air.
PBAPP juga telah menggerakkan lori-lori tangki untuk menyediakan bekalan air kepada pengguna yang terjejas.
"Sementara menunggu kerja-kerja ini siap PBAPP telah mobilisasikan lori-lori tangki, tangki-tangki statik dan pasukan bomba sukarela untuk membantu.
"Berita baik juga kita dapat bantuan dari SPAN bagi menghantar lori tangki daripada syarikat-syarikat air dari negeri-negeri selain negeri Pulau Pinang.
"Seperti dalam operasi 10 Januari lalu, kita harap mobilisasi lori tangki dapat membantu rakyat yang terkesan untuk memperolh air dalam tempoh yang kita tentukan.
"Bagi para pengguna kita akan memberi kemas kini esok setelah dibuat penilaian baru kita tahu sama ada kerja-kerja membaiki kebocoran dapat dilakukan atau kita perlu mempercpatkan lagi lencongan itu supaya bekalan air dapat dapat dengan kadar yang lebih awal lagi," katanya pada sidang media lokasi kejadian.
Pada Selasa, PBAPP dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah mengesan kebocoran besar secara mendadak pada bahagian saluran paip 1,350 milimeter (mm) petang ini, yang menyebabkan berlaku gangguan bekalan air kepada kira-kira 200,000 pengguna di negeri ini.
PBAPP memaklumkan pihaknya sedang berusaha untuk mengepam air melalui saluran paip pada aliran minimum.
'Langkah ini mungkin membawa kepada gangguan bekalan air kepada kira-kira 200,000 pengguna di daerah Barat Daya dan beberapa kawasan di Seberang Perai," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan kejadian tersebut adalah mendadak dan bukan gangguan bekalan air berjadual yang dilakukan oleh PBAPP.
''PBAPP telah mengaktifkan pelan respons kecemasannya. Kami akan menyiarkan kemas kini sewajarnya," menurut kenyataan itu.
Beberapa kawasan di daerah Barat Daya seperti di kawasan Sungai Ara, Bayan Lepas, Bukit Gedung dan sebagainya telah mengalami gangguan bekalan bermula 5 petang.
Kejadian paip bocor di dasar Sungai Perai hari ini merupakan kali ketiga berlaku selepas dua kejadian paip bocor dilaporkan pada Disember tahun lepas dan 12 Jan.
Berikutan beberapa kejadian paip bocor, kerajaan negeri Pulau Pinang melaksanakan kaedah pemasangan paip gantian sementara merentasi Sungai Perai, dan kerja pemasangan paip sementara itu dijangka siap pada 2 Feb, dan berfungsi sekurang-kurangnya lapan bulan sementara menunggu projek baharu pengantian paip kekal di dasar Sungai Perai siap.
#pulau pinang #paip bocor #Chow Kon Yeow #Ketua Menteri #PBAPP #lencongan paip #sungai perai
;