Kerja baik pulih LRA Sungai Rasa selesai, lewat susulan isu teknikal

Astro Awani
Ogos 10, 2022 08:40 MYT
Bekalan air mula disalurkan kepada para pengguna bermula jam 8 pagi hari ini secara berperingkat-peringkat. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasa siap dilaksanakan pada jam 5:30 pagi hari ini.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan, kelewatan itu disebabkan oleh isu-isu teknikal di tapak kerja.
"Berikutan itu, bekalan air dijangka mula disalurkan kepada para pengguna bermula jam 8 pagi ini secara berperingkat-peringkat apabila sistem agihan bekalan air telah distabilkan.
"Bekalan air kini dijangka pulih sepenuhnya pada jam 8 pagi esok (Khamis).
"Air Selangor memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang dialami pengguna dan akan berusaha memastikan proses pemulihan bekalan di 188 kawasan yang terjejas berjalan lancar," jelasnya.
Ujarnya lagi, pihaknya akan terus menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
"Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300," katanya.
#bekalan air #loji rawatan air #Sg Rasa #Air Selangor
;