Kerja 6 jam: Dahulukan pindaan Akta Kerja - MTUC
Hafiz Marzukhi
September 7, 2016 19:06 MYT
September 7, 2016 19:06 MYT
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Kementerian Sumber Manusia supaya mengambil langkah segera bagi meminda Akta Kerja.
Ini kerana, menurut Setiausaha Agungnya N. Gopal Kishnam, pindaan kepada perkara-perkara penting seperti had jam bekerja dalam seminggu perlu didahulukan berbanding usaha untuk merangka pelan holistik.
"Namun, kami di MTUC menyambut baik kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot untuk memperkenalkan sistem kerja waktu anjal.
"Ini adalah baik terutamanya untuk golongan ibu muda dan juga suri rumah yang ingin bekerja namun terpaksa meletakkan jawatan bagi memberi perhatian penuh kepada keluarga," kata Gopal.
Tambah beliau lagi, pendekatan holistik akan mengambil masa yang lama sedangkan pindaan penting ke atas Akta Kerja boleh dicadangkan oleh Menteri dalam kadar masa yang lebih singkat.
"Jika kita ingin mengambil pendekatan holistik, banyak perkara yang harus dinilai semula dan ini akan memakan masa yang lama.
"Lebih baik untuk memberi perhatian kepada perkara-perkara penting seperti meminda had 48 jam bekerja seminggu kepada 40 jam seminggu sebagai langkah permulaan," kata Gopal.
Pada Selasa, Datuk Seri Richard memaklumkan Kementerian Sumber Manusia dalam proses merangka satu pelan holistik dalam usaha untuk menilai semula sistem bekerja dalam negara.