Kerja 24 jam tanpa bayaran, Sahabat Maktab sanggup bantu jemaah haji
Azlinariah Abdullah
Mei 26, 2024 08:30 MYT
Mei 26, 2024 08:30 MYT
MEKAH: Walaupun diri sendiri adalah jemaah, tetapi didorong keinginan dan kesediaan untuk membantu, menyebabkan 315 jemaah tekad menyertai program Sahabat Maktab anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) di Tanah Suci.
Tujuannya adalah untuk membantu jemaah lain yang memerlukan semasa operasi di Tanah Suci Mekah dan Madinah selain Arafah, Mina dan Mudzalifah.
Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, walaupun perlu berkorban masa dan tenaga, kesemua mereka bertekad menyantuni tetamu Allah dengan sebaiknya seperti yang dilakukan petugas TH sepanjang musim haji kali ini.
Katanya, setiap maktab atau penginapan jemaah hanya mempunyai lapan petugas TH dan gabungan antara Sahabat Maktab mampu memastikan kebajikan serta pergerakan jemaah akan lebih teratur terutama ketika di Arafah, Muzdalifah dan Mina.
"Tahun ini, seramai 35 sukarelawan Sahabat Maktab dipilih bagi setiap maktab (penginapan jemaah). Kita ada kesemuanya sembilan maktab jadi keseluruhannya seramai 315 orang. Dalam kalangan mereka ini, ada juga dipanggil sebagai Sahabat Medic dan Sahabat Ibadah dan Sahabat Hujjaj.
"Mereka mempunyai latar belakang perubatan serta agama selain kesukarelawanan. Keadaan ketika di Arafah, Muzdalifah dan Mina akan memerlukan tenaga yang ramai dalam menguruskan pergerakan jemaah serta memasuki khemah-khemah. Semasa masyair, khidmat Sahabat Maktab ini memudahkan perjalanan serta pergerakan pergi (Wukuf) dan balik ke Mekah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada petugas media selepas Majlis Pelantikan Sahabat Maktab 83 di di Hotel Fajr Al Badaya 2 di sini.
Menurut Syed Saleh yang juga Pengarah Eksekutif Haji TH, individu yang menjadi sukarelawan program itu dipilih berdasarkan kategori tertentu termasuk muda, bertenaga, sihat, berketerampilan dan mempunyai kemahiran komunikasi yang baik.
Ditanya jika jumlah 35 itu mencukupi atau ada perancangan ditambah pada masa terdekat, beliau berkata, jumlah itu sudah memadai dengan kuantiti jemaah yang ada.
"Ia sebenarnya ditambah dari 30 orang tahun ini, ada penambahan 5 orang walaupun kuota jemaah adalah sama.
"Ketika pergerakan pada Hari Wukuf, akan ada jemaah yang turut membantu antara sama lain. Kita terpaksa hadkan walaupun ramai lagi yang ingin tampil ke depan untuk bersama Sahabat Maktab. Jumlah yang memohon adalah berlipat kali ganda berbanding bilangan yang kita mahukan," katanya.
Sementara itu, sukarelawan Sahabat Maktab tiga beradik Muhammad Adam Aiman Mohd Amizul Fazly , 23, Muhammad Edris El-Fateh,18 dan Muhammad Nuuh Ebdansyakur, 16 tidak sabar-sabar untuk mengerah kudrat muda mereka bantu jemaah yang memerlukan pada musim ini.
"Sebenarnya, kami adik-beradik memang suka membantu orang. Malah, itu juga pesan bapa kami, supaya tolomg menolong antara satu sama lain terutama apabila yang memerlukan itu adalah golongan yang lebih tua," kata abang sulung, Muhammad Adam Aimanyang juga penuntut jurusan Kejuruteraandi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Seorang lagi Sahabat Maktab, Norfarhanah Ahmad Shukri, 25, pula berkata, Sahabat Maktab adalah kesinambungan dari program kebajikan yang pernah dilakukannya ketika di tanah air dan dia bersedia berkhidmat dalam tempoh 24 jam, jika diperlukan TH.
"Saya kebetulan pernah di Maahad Johor dan Exco Dakwah, dan saya mendaftar secepat mungkin selepas mengetahui program itu dibuka. Peluang menjadi Sahabat Maktab dan membantu jemaah akan saya manfaatkan sebaiknya untuk mengutip pengalaman.
"Membantu orang tidak akan jadi satu beban malah ia menggembirakan dan saya berharap ia menjadi landasan untuk mengutip pahala berlipat kali ganda," kata anak muda berasal dari Johor ini.
Selain itu, Dr Nazir Norkhairi Ismail pula berkongsi bagaimana seawal ketibaannya di sini, dia ada membantu jemaah yang sesat selepas menunaikan umrah pertama.
Jemaah itu, katanya, tidak berdaya dan kehilangan banyak air disebabkan berjalan jauh tersasar untuk pulang ke tempat penginapan.
"Memandangkan saya adalah doktor, saya beri nasihat dan membantu apa yang diperlukan, memandangkan saya tidak boleh merawat kerana tiada peralatan. Mujur, TH bertindak pantas dan merawat jemaah itu sehingga keadaannya menjadi stabil dan sihat semula," katanya.
Pegawai Perubatan di sebuah pusat perubatan swasta di Kedah ini mengakui bahawa membantu orang lain lain dengan kemahiran yang ada itu juga satu bentuk ibadah, dan itu juga cuba dilakukannya dan isteri, Wan Nor Hasnita Wan Daud menerusi penyertaan sebagai Sahabat Maktab.