Kerja 18 jam sehari, pastikan peralatan perubatan di hospital cukup

Isabelle Leong
Mac 25, 2020 21:23 MYT
Muhamad Nor Arif dan Razak ini juga manusia biasa seperti anda. Mereka berdua juga sebetulnya punya tanggunggjawab dan komitmen pada keluarga, namun demi tugas, semua itu diketepikan. - Astro AWANI
Ketika dunia memerangi wabak COVID-19, pastinya “front-liners” atau barisan hadapan menggadaikan nyawa mereka demi merawat dan mengendalikan pesakit yang dijangkiti.
Bagaimanapun, mereka tidak dapat menjalankan tanggungjawab jika peralatan perubatan seperti topeng muka dan peralatan perlindungan peribadi (PPE) tidak mencukupi.
Ini cerita wira tidak didendang dalam memastikan perlindungan barisan hadapan sentiasa terjamin.
Biarpun bukan petugas barisan hadapan, Muhamad Nor Arif Yakir, seorang penghantar bekalan perubatan Pharmaniaga Logistics mendedahkan, dia bekerja selama 18 jam sehari untuk memastikan penghantaran ke hospital tepat pada masanya.
Muhamad Nor Arif mengakui, dia dibelenggu rasa takut untuk membuat penghantaran tersebut namun, jiwa kentalnya mengatasi ketakutan itu.
Dia tabahkan diri menghadapinya kerana menyedari perkhidmatan yang dilakukannya itu merupakan salah satu khidmat kepada rakyat dan negara.
“Pada mulanya, apabila kami dapat tahu tentang Perintah Kawalan Pergerakan, memang terkejut. Tetapi kami ambil kata-kata semangat untuk meneruskan pekerjaan saya.
“Kami sampai di hospital dan klinik dan kami tidak tahu sama ada kami akan dijangkiti virus tersebut.
“Saya tahu apa yang saya buat adalah untuk membantu rakyat Malaysia, dengan menghantar peralatan dan ubatan,” kata Muhamad Nor Arif ketika ditemui di tempat kerjanya.
Tambahnya, dia tidak berasa cemburu dengan rakan-rakan yang yang bekerja dari rumah sejak penguatkuasaan PKP, sebaliknya, amat bangga kerana dapat berkhidmat untuk negara.
Perkara sama turut dikongsi pengurus kilang Pharmaniaga Logistics, Abdul Razak Osman yang memastikan bekalan perubatan mencukupi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.
“Saya bangga kerana kami tahu kami “front-liner” dan lebih penting ialah rakyat.
“Kami mempunyai polisi di mana pekerja harus menjawab telefon dan hadir ke tempat kerja jika diperlukan dalam jangka masa satu jam,” kata Razak.
Muhamad Nor Arif dan Razak ini juga manusia biasa seperti anda. Mereka berdua juga sebetulnya punya tanggunggjawab dan komitmen pada keluarga, namun demi tugas, semua itu diketepikan.
Merekalah sebahagian daripada wira tidak didendang yang bertungkus-lumus membantu pihak berkuasa memerangi COVID-19.
#COVID-19 #koronavirus #peralatan perubatan #Pharmaniaga Logistics #unsung hero #wira tidak didendang
;