Keris Tok Chu, Sampir Kuseriwa diisytihar warisan Kelantan

Bernama
Julai 25, 2024 14:02 MYT
Tengku Muhammad Fakhry Petra (kanan) berkenan merasmikan Festival Keris dan Warisan Kelantan serta perisytiharan Keris Tok Chu sebagai keris warisan Kelantan di Istana Balai Besar hari ini. - Bernama
KOTA BHARU: Keris Tok Chu yang dipercayai berusia hampir 200 tahun dan Sampir Kuseriwa hari ini diisytiharkan sebagai warisan Kelantan.
Pengisytiharan itu disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra pada majlis perasmian Festival Keris dan Warisan Kelantan di Istana Balai Besar di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Kamarudin Md Nor berkata pihaknya akan mendaftarkan hak cipta senjata itu di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan mewartakannya sebagai warisan Kelantan di Jabatan Warisan Negara dalam masa terdekat.
Beliau berkata pihaknya akan menyiapkan dokumentasi lengkap bagi tujuan itu.
"Keris Tok Chu dikatakan berasal dari Kampung Laut, Tumpat dibuat oleh seorang penempa yang bernama Tok Chu manakala Sampir Kuseriwa dibuat oleh empu (orang yang mahir pembuatan keris) diraja Kelantan zaman dahulu," katanya.
Kamarudin berkata setakat semalam, festival yang bermula pada 14 Julai itu telah menarik kedatangan lebih 10,000 pengunjung dari dalam dan luar Kelantan.
Kira-kira 500 bilah keris dan senjata Melayu dipamerkan di festival itu yang julung kali diadakan sempena Tahun Melawat Kelantan 2024.
-- BERNAMA
#keris tok chu #warisan kelantan #festival #Festival Keris dan Warisan Kelantan