Keris, kapak di akaun TikTok Sanusi cetus kegusaran
Umavathi Ramayah
Julai 23, 2023 20:53 MYT
Julai 23, 2023 20:53 MYT
SHAH ALAM: Akaun TikTok rasmi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor disekat baru-baru ini selepas dipercayai memaparkan senjata seperti kapak dan keris, yang jelas melanggar garis panduan komuniti platform media sosial tersebut.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyifatkan unsur yang ditonjolkan dalam kandungan tersebut sebagai ugutan jenayah.
"Baru-baru ini ada usaha menimbulkan rasa gusar, apabila ada seorang tokoh politik ditahan polis.
"Semasa individu itu ditahan pihak berkuasa, saya difahamkan pada awal pagi atau tengah malam pada hari sama telah tersebar di TikTok di mana beberapa lelaki duduk di sebuah meja bersama peranti atau telefon pintar dengan gambar individu tersebut.
"Di satu sudut meja terdapat senjata, kapak dan keris. Bagi saya dan sudah pasti bagi pihak polis, waima pihak TikTok sekalipun gambar yang ditonjolkan itu adalah ugutan jenayah," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian watikah komuniti MADANI peringkat zon tengah, Selangor di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut Fahmi menjelaskan tanpa sebarang arahan, pihak TikTok memadam konteks tersebut.
Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dan Pas Pusat mendakwa akaun TikToknya disekat, sekali gus menyifatkan tindakan berkenaan sebagai usaha menghalang kemaraan berkempen secara maya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Perkara itu dijelaskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menyekat mana-mana akaun TikTok.
Beliau menjelaskan, aplikasi sosial TikTok berkenaan adalah bukan milik kerajaan, tetapi sebuah syarikat teknologi dari China.