'Keri Pok Jeng' akhirnya mati ditembak polis, banyak kes berkaitan dianggap selesai
Astro Awani
September 10, 2018 22:30 MYT
September 10, 2018 22:30 MYT
Polis percaya kes pembunuhan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat Alias Abdullah selesai.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata ia susulan seorang penjenayah yang dipercayai suspek utama kes itu mati dalam insiden berbalas tembakan awal pagi tadi.
Menurut Fazlisyam, dengan tertumpasnya suspek yang dikenali sebagai ‘Keri Pok Jeng’, pihaknya percaya dapat menyelesaikan beberapa lagi kes jenayah berat yang lain.
“Dengan tumpasnya penjenayah ini, kita telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 12 kes jenayah yang berlaku di Pantai Timur termasuk kes pembunuhan ADUN Alor Limbat,” ujar Fazlisyam.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan suspek yang diburu sejak tahun 2015 itu turut bertindak sebagai pembunuh upahan.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi tadi, suspek yang berusia 37 tahun itu bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota polis di sebuah kawasan pembinaan taman perumahan di Felda Neram Satu, Kemaman.
“Kita tidak menolak kemungkinan bahawa dia membunuh atas motif dia sendiri atau mengambil upah. Itu saya tak boleh rumuskan lagi.
"Tapi kita percaya, kemungkinan dia ada bertindak sebagai pembunuh upahan, berdasarkan kes-kes dan risikan yang dibuat. Kita percaya dia turut terlibat dalam kes (tembak mati) ADUN.
"..sebab dala senarai dua belas kes tu memang dia ...tersenarai...
Pada Oktober 2015, Alias mati ditembak di rumahnya di Kampung Alor Limbat, Marang.
Alias ditembak pada jarak dekat oleh seorang lelaki tidak dikenali di rumahnya selepas pulang dari solat Jumaat.
Allahyarham yang memiliki firma guaman Alias Abdullah & Co dipilih sebagai ADUN Alor Limbat dari 2004 hingga 2008.
#ADUN alor limbat
#alias abdullah
#keri pok jeng
#PDRM
#pembunuh upahan
#penjenayah dikehendaki
#polis