Keretapi Sarong terima Anugerah Best ASEAN Cultural Preservation Effort 2025

Bernama
Januari 21, 2025 13:10 MYT
Keretapi Sarong berjaya menghubungkan komuniti, menyemai nilai inklusiviti, sekali gus menonjolkan keindahan budaya Malaysia di mata dunia.- Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Acara ikonik tahunan Keretapi Sarong menerima Anugerah Best ASEAN Cultural Preservation Effort 2025 daripada ASEAN Tourism Association (ASEANTA) yang disampaikan bersempena dengan Forum Pelancongan ASEAN 2025 di Johor Bahru, semalam.
Pengarah Keretapi Sarong dan Pengasas Bersama LOCCO Shamsul Bahrin Zainuzzaman berkata pengiktirafan itu adalah bukti semangat kolektif dan kecintaan rakyat Malaysia terhadap warisan budaya.
"Keretapi Sarong bukan sekadar sebuah acara, sebaliknya satu platform di mana tradisi bertemu kemodenan, menyemai perpaduan dan rasa bangga dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Memelihara budaya bukan sekadar mengingati masa lalu tetapi memastikan generasi akan datang mewarisi legasi yang kaya dan bermakna yang dapat mereka banggakan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata anugerah itu mengukuhkan impak acara tersebut dalam memelihara adat tradisional sambil memodenkan cara naratif budaya dikongsi dan diraikan.
"Komitmen LOCCO yang tidak berbelah bagi dalam menganjurkan acara ini setiap Hari Malaysia telah menjadikan mereka dekat di hati rakyat Malaysia dan pemerhati ASEAN. Pendekatan unik LOCCO dalam menganjurkan Keretapi Sarong telah menjadikannya satu perayaan kebersamaan.
"Kami berterima kasih kepada semua komuniti tempatan, kumpulan budaya dan jenama yang telah mempercayai dan menyokong kami. Tanpa sokongan dan dedikasi mereka, Keretapi Sarong tidak akan menjadi seperti apa yang ada hari ini - sebuah perayaan meriah yang memupuk rasa bangga terhadap budaya kita," katanya
Program Keretapi Sarong diadakan setiap tahun bersempena dengan Hari Malaysia dan menjadi simbol perpaduan yang menarik ribuan peserta berpakaian sarung tradisional bersama-sama menjelajah negara menaiki kereta api.
Dianjurkan oleh LOCCO, sebuah platform budaya yang didedikasikan untuk meraikan warisan Malaysia, Keretapi Sarong berjaya menghubungkan komuniti, menyemai nilai inklusiviti, sekali gus menonjolkan keindahan budaya Malaysia di mata dunia.
-- BERNAMA
#keretapi sarong #Anugerah Best ASEAN Cultural Preservation Effort 2025 #LOCCO #Shamsul Bahrin Zainuzzaman #Forum Pelancongan ASEAN 2025
;